Polis ambil keterangan pengerusi DAP Sarawak


Desmond Davidson

Tindakan Pemuda DAP Sarawak menampal tulisan Cina pada papan nama jalan di Kuching boleh dianggap merosakkan harta benda awam. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2020.

PENGERUSI DAP Sarawak Chong Chieng Jen hari ini memberi keterangan kepada polis berhubung perbuatan merosakkan harta benda awam oleh sekumpulan ahli sayap Pemuda negeri, yang menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar Kuching.

Polis mengambil keterangan Chong semasa beliau menemani seorang ahli DAP yang dipanggil ke balai polis.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)  petang semalam membuat laporan polis berkenaan “sekumpulan anak muda berbaju merah dari sebuah parti politik” menampal tulisan Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya itu.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan-kawasan utama masyarakat Cina di Kuching.

Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak Julian Tan dilaporkan portal FMT berkata menjadi sebahagian daripada budaya Sarawak untuk mempunyai dua bahasa bagi papan tanda jalan di kawasan perniagaan yang majoritinya orang Cina.

“Terutamanya di Jalan Main Bazaar, yang menjadi kawasan pelancongan utama memandangkan kuil Cina tertua di Kuching terletak di sana,” katanya.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata tindakan menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan menunjukkan DAP mencetus dengan isu perkauman.

Lo, yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, berkata jika tindakan menampal tulisan Cina itu bertujuan politik maka  ia sudah pastinya satu tindakan bodoh.

Katanya, tindakan sekumpulan ahli sayap Pemuda DAP Sarawak itu mencetus perdebatan berbaur perkauman di media sosial.

“(Ini) bukan Sarawak. Kita tidak perlukan permainan politik seperti ini di sini.” 

Beliau juga memberi amaran kepada DAP supaya tidak memainkan politik kotor di Sarawak.

“Kita negeri yang berbilang kaum dan menjadi contoh kepada seluruh Malaysia, malah kepada dunia dengan keharmonian kita. Jadi, mengapa rosakkannya?

“DAP jangan lupa bahawa Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum - Cina, Melayu, Dayak, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain.

“Hargai apa yang kita nikmati sekarang ini. Marilah kita saling mengingati supaya menghargai keamanan dan keharmonian di Sarawak.

“Jangan bawa budaya politik seperti ini ke Sarawak,” katanya. – 21 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen