Filipina galak jalan kaki, berbasikal semasa kawalan pergerakan Covid-19


Filipina menggalakkan penduduknya menjalankan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal semasa dan selepas Covid-19 untuk mengatasi perkhidmatan pengangkutan awam yang terhad dan mendorong gaya hidup lebih aktif. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2020.

FILIPINA menggalakkan penduduknya menjalankan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal semasa dan bahkan selepas pandemik Covid-19 untuk mengatasi perkhidmatan pengangkutan awam yang terhad dan mendorong gaya hidup yang lebih aktif, terutama semasa perintah kawalan pergerakan.

 Menurut arahan pentadbiran bersama yang dikeluarkan pada Khamis oleh jabatan kesihatan, pengangkutan, dalaman, dan kerja raya negara ini, satu kaedah pengangkutan yang aktif termasuk berjalan kaki dan berbasikal, perlu dipromosi sebagai cara pergerakan perjalanan yang selamat berikutan ancaman pandemik Covid-19 yang masih berterusan. 

 Arahan itu mendesak agar agensi kerajaan dan unit kerajaan daerah membina laluan berbasikal dan lorong pejalan kaki yang dilindungi, dan infrastruktur sokongan seperti rak basikal dan ruang menukar pakaian, demikian Agensi Berita Vietnam (VNA) dipetik sebagai berkata.

 Filipina masih berada di bawah tahap larangan yang berbeza-beza sejak pelaksanaan  kawalan pergerakan pada pertengahan Mac yang mengehadkan sistem pengangkutan awam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mempromosi aktiviti berbasikal dan berjalan kaki untuk membatasi hubungan fizikal bertujuan mencegah dan memperlahan penularan pandemik.

Filipina mencatatkan 178,022 kes Covid-19 yang disahkan pada Khamis, termasuk 114,114 pemulihan dan 2,883 kematian. – Bernama, 21 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen