9 kes baharu Covid-19, 1 lagi kluster di Titiwangsa


SEMBILAN kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, manakala satu lagi kluster dikesan di Titiwangsa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini  9,249.

“Ingin dimaklumkan daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara dari Filipina, Austria, Indonesia dan India.

“Daripada lima kes penularan di dalam negara, empat adalah warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes penularan dalam negara membabitkan rakyat tempatan pula, tiga dikesan daripada kluster Tawar dan satu daripada kluster baharu di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Selain itu, seramai tujuh pesakit Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi, dan empat daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian kekal 125 orang setakat ini. – 21 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen