Ramasamy kecam Kedah roboh kuil jadi parkir motosikal


Ravin Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy kecam tindakan kerajaan negeri Kedah merobohkan kuil Sree Madurai Veeran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2020.

KAWASAN kuil Hindu yang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan di Alor Setar, Kedah bagi tujuan peluasan jalan, kini dijadikan tempat letak motosikal.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengecam tindakan itu, dan menggelar kerajaan negeri Kedah yang ditadbir PAS, tidak bertoleransi daripada segi agama kerana tindakan mereka merobohkan kuil berusia seabad itu.

Beliau mempertikaikan mengapa kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tiba-tiba berubah rancangan untuk kawasan itu, bertanya bagaimana membina tempat letak motosikal dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas di situ.

“MBAS kata kuil itu dirobohkan untuk meluaskan jalan tetapi sekarang mereka bina tempat letak motosikal,” katanya.

Kuil Sree Madurai Veeran di pintu masuk stesen kereta api Alor Setar itu dirobohkan oleh MBAS pada Julai.

MBAS beberapa kali menghantar notis pengosongan kepada penjaga kuil, berkata kuil itu dibina secara haram di tanah rizab jalan, dan mengganggu laluan jalan raya.

Ramasamy berkata perkara itu pernah dibawa kepada kerajaan negeri terdahulu Pakatan Harapan (PH) dalam satu mesyuarat pada Januari, di mana ia mencadangkan kesesakan itu boleh dicegah dengan menjadikan jalan di depan kuil itu sehala.

Beliau berkata kerajaan negeri pada masa ini boleh selesaikan isu itu secara baik dengan memindahkan kuil ke tanah lain, bukannya merobohkan dengan cara tidak baik. – 21 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen