PERLAWANAN bola sepak profesional tertinggi Malaysia kini siap sedia untuk memulakan kembali musimnya pada 28 Ogos selepas dihentikan sejak Mac, akibat pandemik Covid-19.
Kelab profesional dan pemain mereka sudah bersedia untuk musim Liga Super CIMB, di mana 12 pasukan akan bertanding sekali lagi, tetapi tanpa kehadiran penyokong menyorak untuk mereka.
Di sebalik kekurangan itu, semua pasukan masih tetap menjalankan latihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola sepak Malaysia Ab Ghani Hassan berkata sejak 2 Ogos, pasukan sudah mula mengadakan perlawanan persahabatan.
“Tidak ada masalah dengan semua pasukan kerana mereka patuh SOP. Kami juga patuh SOP seperti yang dilakukan Jepun dan Korea.
“Semua pemain, jurulatih dan pegawai sukan sudah menjalani ujian saringan Covid-19. Kami ikut semua garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).”
Bagi menambah tahap keselamatan, Ghani berkata semua pasukan yang bermain di luar kawasan diwajibkan berdaftar dengan pihak berkuasa negeri masing-masing.
“Bagi setiap venue untuk perlawanan, pemain perlu mendaftar dengan pihak berkuasa, kemudian menyerahkan dokumen kepada MFL dan kemudian baru kami akan luluskan perlawanan itu.
“Pendaftaran itu untuk MKN membuat pemantauan jika berlaku kluster ketika lawatan pasukan untuk perlawanan berkenaan.
“Ini juga bagi memastikan pihak berkuasa ada rekod mereka, supaya tindakan boleh diambil.”
Beliau berkata mereka sangat berhati-hati dan memastikan dengan ketat semua pasukan mematuhi SOP.
“Jika ada pasukan gagal patuh SOP, mereka akan diberi surat amaran dan perlu memberi penjelasan terhadap tindakan mereka itu.
“Setakat ini kami tidak ada masalah dengan mana-mana pasukan untuk patuh SOP.”
Berkenaan SOP untuk perlawanan, Ghani berkata setiap individu yang diberi kuasa masuk ke stadium perlu memakai topeng pelitup muka sepanjang perlawnan berlangsung hingga wisel terakhir.
“Sebelum perlawanan, pemeriksaan suhu akan dilakukan, dan pelain simpanan akan duduk di tempat duduk peminat, bukannya di bangku di padang.
“Hanya 198 individu, iaitu pasukan perubatan, media, VIP dan pemain pasukan berlawan akan dibenarkan masuk ke stadium bagi setiap perlawanan. Sebelum ini, 400 orang tidak termasuk penonton.” – 22 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen