PARTI Bersatu Sabah (PBS) perlu melupakan rasa sakit hati mereka kepada Dr Mahathir Mohamad, kata DAP Sabah, mengingatkan parti itu mereka tidak akan menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini jika tidak kerana negarawan itu.
Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Lasimbang hari ini mengingatkan PBS yang Dr Mahathir adalah orang bertanggungjawab menerima kembali PBS selepas ia meninggalkan BN pada 1990.
“Memanglah kehadiran (Dr) Mahathir dalam Pakatan Harapan memberi kesan kepada Pakatan Harapan Sabah, tetapi kita perlu bergerak ke depan dan tidak membenarkan masa silam menghalang masa depan negeri ini.
“Saya bersedia untuk memaafkan bekas perdana menteri itu walaupun saya percaya masalah wujud antara beliau dengan pemimpin kanan PBS seperti Presiden (PBS) Joseph Pairin Kitingan, Presiden Upko Bernard Dompok dan beberapa orang lagi.
“Tapi saya tak mahu bertanggungjawab menyelesaikan masalah lama,” kata Lasimbang.
Pada 8 Disember lalu, pemangku Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut mendakwa faktor Dr Mahathir adalah sebab mengapa PH Sabah tidak akan memenangi sebarang kerusi di Sabah, selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara sekiranya pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Mandut dipetik oleh portal berita atas talian FMT, sebagai berkata “Mahathirism” adalah perkara terburuk pernah berlaku di Malaysia Timur dan tidak mustahil boleh berlaku di Sabah dan Sarawak sekali lagi.
PBS keluar daripada BN ketika Pilihan Raya Umum 1990 sedang berlaku, seterusnya menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46. Tindakan PBS itu salah satu faktor Umno berjaya masuk ke Sabah selepas pembubaran Usno yang diterajui Mustapa Datu Harun.
Dr Mahathir adalah presiden Umno ketika itu.
Walaupun PBS menang Pilihan Raya Negeri 1994, ramai wakil rakyatnya lompat parti masuk ke dalam BN sebelum PBS sempat membentuk kerajaan negeri yang baru.
PBS hanya kembali ke pangkuan BN pada 2002, selepas lapan tahun menjadi pembangkang di Sabah.
Pada 2011, akhbar The Star melaporkan yang Kitingan meluahkan kekesalan mengeluarkan PBS daripada BN ketika itu tetapi enggan mengulas lanjut.
“Sangat tidak adil untuk PBS menyerang (Dr) Mahathir yang membawa mereka kembali ke dalam BN, hanya kerana beliau adalah pengerusi parti pembangkang, Bersatu dan Pakatan harapan sekarang.
“Kita perlu nilai mengapa Dr Mahathir rela menjadi musuh Umno, parti yang buat Malaysia kucar kacir.
“Kami sangat bimbangkan tentang masa depan negara dan generasi muda, kami percaya yang Dr Mahathir boleh membantu negara ini mengharungi ketidaktentuan itu,” kata Lasimbang lagi.
Walaupun Dr Mahathir tidak berjaya melonjakan pembangunan di Sabah, beliau masih berjaya menyelamatkan Malaysia daripada pelbagai krisis, seperti Krisis Kewangan Asia 1997, katanya lagi.
Apabila ditanya sama ada Dr Mahathir akan melawat Sabah untuk kempen PH, setiausaha DAP Sabah itu berkata negarawan berusia 92 tahun itu sudah menyuarakan minatnya untuk datang ke Sabah, tetapi kini masih berdepan masalah logistik. – 9 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan