PRESIDEN Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao menafikan dakwaan bahawa beliau mempengaruhi seorang seorang lelaki yang baru-baru ini membuat akuan bersumpah diliwat seorang ahli Parlimen pembangkang.
Ramesh berkata lelaki itu datang kepadanya untuk mengadu tentang hal tersebut dan menafikan bahawa beliau memberi tekanan kepada individu itu untuk membuat akuan bersumpah itu.
Ramesh juga menfikan dakwaan bahawa beliau berkongsikan dokumen itu di media sosial dengan niat menjejaskan reputasi ahli Parlimen terbabit.
“Dia (individu tersebut) datang kepada saya untuk mengadu tentang hal ini. Kejadian ini berlaku tujuh tahun lalu. Dia membuat satu SD dan kami membawanya kepada polis untuk membetulkan pengakuannya itu,” kata Ramesh kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas laporan seorang lelaki yang membuat laporan polis terhadap dirinya dan blogger Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin berhubung akuan bersumpah itu.
Menurut Malaysiakini, individu terbabit mendakwa dia telah diperalat dan dipergunakan oleh seorang pemimpin NGO untuk membuat tuduhan tersebut.
Namun Ramesh berkata lelaki itu yang datang kepadanya untuk meminta bantuan.
“Dia yang datang kepada saya. Dia mahu membuat laporan perubatan. Saya juga mendapati dia berjumpa orang lain dan meminta wang (untuk merahsiakan perkara itu,” katanya.
Ramesh berkata beliau menyedari tentang laporan polis yang dibuat ke atasnya dan akan dipanggil polis esok untuk disoal siasat.
Dalam SD bertarikh 29 Jun lalu, lelaki terbabit didakwa melakukan hubungan seksual dengan ahli politik berkenaan di beberapa hotel pada 2013 dan diberikan upah sejumlah RM300 setiap kali bersama.
Dia turut mendakwa atas permintaan ahli politik itu, dia juga memperkenalkan seorang kawannya kepada ahli politik berkenaan dan kedua-duanya melakukan hubungan seks. – 20 Ogos, 2020.
Komen