SARAWAK hari ini mengumumkan kluster baharu Covid-19 selepas empat anak kapal tangki minyak dari Pelabuhan Klang diuji positif virus itu ketika berlabuh di Bintulu.
Jabatan Kesihatan menamakannya sebagai “kluster Alam” dan anak kapal yang dijangkiti adalah dua rakyat Malaysia, seorang warga Filipina dan warga India.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak hari ini berkata kapal tangki yang mempunyai 27 anak kapal, sedang dalam perjalanan ke Bintulu dari Labuan ketika kaptennya menghubungi ejen pengendali meminta bantuan perubatan semasa tiba apabila lima anak kapal jatuh sakit dan memerlukan rawatan perubatan segera.
Pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Bintulu yang menaiki kapal tangki itu untuk menilai penyakit anak kapal mendapati mereka menunjukkan simptom awal jangkitan Covid-19.
Setelah mereka dibawa keluar dari kapal tangki dan dibawa ke hospital Bintulu pada hari Selasa, hasil ujian rT-PCR yang dikeluarkan hari ini menunjukkan keempat-empat mereka disahkan positif.
JPBN turut berkata baki lagi 22 anak kapal serta orang-orang yang membantu memindahkan lima lelaki itu dari kapal ke hospital, semuanya akan disaring untuk dijangkiti virus dalam beberapa hari ke depan.
“Siasatan awal menunjukkan punca jangkitan adalah import dari luar negeri, kemungkinan besar dibawa ke kapal oleh anak kapal yang baru saja singgah di salah satu persinggahan kapal,” kata jawatankuasa itu.
JPBN turut menambah bahawa siasatan mengenai kluster itu masih dijalankan dan proses saringan jangkitan masih belum selesai sepenuhnya.
Kapal tangki itu berada di pelabuhan Jepun Toyama Shinko dari 27 Julai hingga 1 Ogos sebelum berlayar dan berhenti di pelabuhan Labuan pada 10 Ogos.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam satu kenyataan bahawa ini adalah kluster tersebut adalah terpencil, di samping berkata anak kapal kelima kini sedang menunggu keputusan ujiannya.
Noor Hisham berkata kelompok ini tidak menanggung risiko jangkitan tempatan kerana “ia adalah kluster import terpencil dalam kapal”.
“Langkah pencegahan dan pembasmian kuman juga telah dilaksanakan dalam kapal,” katanya. – 20 Ogos, 2020.
Komen