PENGANUT Hindu dan jawatankuasa kuil harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat bagi mengekang penularan Covid-19, kata Sangam Hindu Malaysia (MHS).
MHS mengesahkan bahawa pihaknya menerima aduan berhubung kesesakan di kawasan kuil dan tidak patuh terhadap prosedur pencegahan penyakit.
Presiden MHS R.S. Mohan Shan berkata para pengunjung kuil dan orang awam harus menghindari keramaian di kuil-kuil bagi mengelakkan kemungkinan kluster Covid-19 baharu muncul di kawasan ibadat agama hindu.
MHS baru-baru ini menerima aduan mengenai kuil dan pengunjung yang melanggar SOP serta pantauan pihak berkuasa yang longgar di kawasan itu, katanya.
“Walaupun kebanyakan kuil mematuhi SOP, beberapa kuil masih belum patuh dan kami menerima aduan dari orang ramai.
“Kami mahu semua kuil mengikuti SOP yang diberikan oleh kerajaan kerana kami tidak mahu kluster (Covid-19) muncul dari kuil Hindu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
MHS cawangan negeri dan daerah kini memantau situasi itu dengan melaksanakan beberapa kunjungan kuil untuk melihat pematuhan SOP di sana, tambahnya.
Mohan berkata bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk mematuhi SOP.
Beliau turut berkata MHS telah menetapkan SOP untuk perayaan tahunan Vinayagar Chaturthi yang akan datang bagi memperingati ulang tahun Ganesha, dewa berkepala gajah, pada 22 Ogos ini.
Antara SOP adalah semua kuil diarahkan menjalankan acara perayaan ini secara kecil-kecilan.
“Kami beritahu kuil untuk mengawal keramaian mereka dan menasihati pengunjung untuk tidak berkumpul dalam jumlah besar.
“Sekiranya kuil itu tidak memiliki sumber untuk mengawal orang ramai, mereka harus mengupah anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Para pengunjug juga harus mempertimbangkan untuk pergi ke kuil ketika orang tidak ramai,” kata Mohan.
Beliau mengingatkan jawatankuasa kuil bahawa mereka masih tidak diizinkan mengadakan perarakan, yang dilarang di bawah fasa Perintah Pemulihan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini yang bakal berakhir pada 31 Ogos.
Kuil dan tempat ibadat lain diberi lampu hijau untuk beroperasi mulai 10 Jun lalu, dengan syarat pematuhan SOP yang ketat merangkumi perhimpunan kecil dan penjarakan sosial.
Mohan juga mendesak penganut Hindu untuk melakukan upacara pooja (doa khas) di rumah untuk mengutamakan keselamatan, kerana perkara ini tidak pernah terjadi sebelumnya.
“Pada masa begini, keselamatan sangat penting.
“Tidak ada salahnya jika seseorang tidak dapat pergi ke kuil pada hari-hari baik. Mereka boleh lakukan pooja di rumah,” jelasnya. – 20 Ogos, 2020.
Komen