Menteri langgar kuarantin berpotensi jangkiti ribuan orang lain, kata Teresa


Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata Mohamad Khairuddin Aman Razali berpotensi untuk menjangkiti ribuan orang lain apabila tidak menjalani perintah kuarantin selepas pulang dari Turki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020.

MENTERI Perusahaan Perladagangan dan Komoditi Mohamad Khairuddin Aman Razali mungkin sudah menjangkiti ribuan orang dengan Covid-19 apabila tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki, kata ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Bekas menteri itu berkata Khairuddin menghadiri lebih 10 program berasingan dan juga berada di Dewan Rakyat yang berpotensi mewujudkan kluster baharu sekiranya dia disahkan positif Covid-19.

“Jika dia dijangkiti penyakit Covid-19 dari Turki, dia mungkin menjangkiti koronavirus ini kepada ribuan orang yang mungkin mewujudkan ‘kluster Khairuddin Takiri’ di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin dilaporkan tidak menjalani kuarantin selepas diuji negatif Covid-19 ketika tiba dari Turki pada 7 Julai.

Dia menghadiri Parlimen pada 13 Julai.

Kok, yang merupakan bekas Menteri Industri Utama dalam kerajaan Pakatan Harapan menyenaraikan beberapa majlis dihadiri oleh Khairuddin yang disiarkannya di Facebook, termasuk pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 

Dia juga mengambil bahagian dalam konvoi berbasikal di Kuala Nerus, Terengganu.

Hari ini, Khairuddin juga memuat naik programnya bersama rakyat di Kuala Terengganu.

Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap Khairuddin dan keluarganya kerana melanggar perintah kuarantin, kata Kok.

“Kerajaan haruslah menunjukkan ia tidak berat sebelah dari segi penguatkuasaan dalam kes Covid-19,” katanya.

Semua pelancong diminta untuk menjalani ujian saringan Covid-19 semasa ketibaan mereka di negara ini dan menjalani kuarantin selama dua minggu walaupun disahkan negatif.

Mereka yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Perbuatan Khairuddin yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) menjadi topik hangat setelah ada warganegara Malaysia dihukum - termasuk dua dipenjara - kerana melakukan perkara yang sama.

Satu laporan polis dibuat terhadap menteri PAS itu dan polis berkata bahawa perkara itu telah dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk siasatan.

Dalam satu kenyataan berasingan, veteran DAP Lim Kit Siang berkata episod ini jelas menunjukkan ada dua kelas dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu rakyat biasa yang perlu patuh undang-undang dan golongan kenamaan yang boleh sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

“Pengajaran yang dapat kita pelajari daripada perkara yang mengejutkan ini adalah tidak ada kedaulatan undang-undang dalam negara ini,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Beliau juga meminta perdana menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan sebab kenapa beliau membenarkan Khairuddin ke Turki yang kononnya dikatakan negara zon hijau.

“Sejak bila pula Turki dikira sebagai sebuah “negara zon hijau” dan siapakah yang mengisytiharkan perkara ini?” – 20 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen