Kejahilan ibadah: Banyak ritual, sedikit sosial


Mohd Syazreen Abdullah

ADA beberapa urusan keduniaan yang tidak terikat sepenuhnya dengan ketetapan wahyu. Misalnya hal-hal yang mengatur urus sosial seperti masyarakat dan kehidupan demi kemaslahatan yang lebih besar. 

Misalnya, Nabi SAW sering memberi makan kepada fakir miskin, namun tidak semestinya kita juga harus mengikuti seperti yang dilakukan Nabi.

Kita juga boleh menggantikan memberi makan tersebut dengan memberikan wang untuk keperluan mereka. Kadangkala, memberi makan boleh diganti dengan memberi pekerjaan kepada mereka. 

Justeru, agama bersifat anjal dalam hal-hal tentang kemaslahatan sosial. 

Maka, kita harus berfikir menyeluruh atau mengatur kebijaksanaan dalam urusan sosial yang juga merupakan tuntutan daripada agama seperti mencari formula kehidupan yang adil dan saksama, melakukan fresh ijtihad, demi sebuah struktur sosial – membezakan urusan peribadi dan pengaturan kehidupan sosial yang lebih luas. Dalam bahasa agama dipanggil‘al-am’ dan ‘al-khas’ – umum dan khusus. 

Ibadah bersifat kemaslahatan sosial seringkali dilupakan oleh umat Islam. Namun besar ganjarannya dalam agama.

Ibadah sosial adalah ibadah kemanusiaan. Ibadah yang memerlukan kepada fokus, stamina, kebijaksanaan dan keluasan akal dalam berfikir dan tindakan. Barangkali tidak sedikit nilaiannya di sisi Tuhan.

Demikian, pembahagian ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh menyerahkan semua permasalahan, atau persoalan di dunia ini dalam aturan hukum Allah.

Dalam Quran jelas mengajarkan umat manusia untuk berfikir, bersepakat, dan membentuk nilai-nilai Quran ke dalam konteks kehidupan mereka.

Fikir kemaslahatan

Tuhan memberi kebebasan sepenuhnya kepada hamba-Nya mengatur urusan kehidupan mereka. Justeru, Tuhan berpesan dalam Quran dengan menggunakan makna “fastabiqul khairat” – berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan (Al-Baqarah, ayat 148).

Jalan kebaikan yang mengatur urusan kemaslahatan manusia itu sendiri. Lawan daripada seruan ini adalah yang menindas kepada maslahat tersebut. 

Berdasarkan ayat ini, manusia tidak boleh sesekali melepaskan diri daripada permasalahan sosial.Melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap moral sosial atas alasan hukum Tuhan. Melepaskan tangan sebulat-bulatnya pada urusan takdir Tuhan.

Walhal, agama menyerukan perlumbaan mengejar kebaikan tanda kita harus memajukan keilmuan, dan formula untuk memelihara kemaslahatan manusia. Bukan menutup. 

Nilai-nilai keadilan, kebebasan dan kemanusiaan itu harus merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam urusan-urusan keduniaan. Ini sunnah alam yang tidak boleh kita mungkiri.

Contoh, dalam bidang ekonomi, merujuk kepada pakar ekonomi. Begitu juga bidang sains, teknologi dan lain-lain.

Kata Nabi, man aradad dunya fa’alihi bil ‘ilmi, wa man aradal akhirata fa ‘alihi bil ‘ilmi; barang siapa hendak mengatasi masalah keduniaan, hendaknya memakai ilmu. 

Justeru, bidang-bidang keduniaan tidak perlu kita menunggu jawapan daripada langit yang merujuk kepada hukum Tuhan semata, bahkan hal keduniaan, kita harus tahu bijak membezakan tentang peranan manusia dalam mengatur tentang tuntutan Tuhan ke dalam konteks kehidupan masa kini.

Bahkan, dalam bahasa fikah, tuntutan ibadah kemanusiaan yang disebutkan di atas ini merupakan ibadah ghairu mahdhah atau disebut ibadah yang mempunyai hubungan dengan dimensi sosial. 

Ibadah ghairu mahdhah ini lawan kepada ibadah mahdhah yang merupakan ibadah yang menumpukan ritual tentang dirinya. Termasuklah solat, puasa, haji, zikir dan doa. 

Hakikatnya, kedua-dua ibadah ini penting kerana iman dan amal saleh tidak boleh dipisahkan. Quran menyimpulkan amal saleh merupakan daripada manifestasi iman. 

Ibadah sosial atau amal saleh adalah refleksi keimanan seseorang. Kata Nabi Muhammad SAW, tanda iman itu pada amal saleh, ketika Nabi menjelaskan tentang ciri-ciri orang beriman: 

“Tidak beriman kamu sebelum kamu mencintai saudaramu seperti kamu mencintai dirimu sendiri”,

“Tidak beriman kamu sekiranya kamu tidur dalam kekenyangan sedangkan jiranmu dalam kelaparan”,

“Tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat melainkan kamu memuliakan tetanggamu”.

Hadis-hadis ini jelas bahawa tuntutan ibadah perseorangan melahirkan tuntutan ibadah sosial.

Kebuktian iman ini boleh kita simpulkan betapa Muslim itu menyempurnakan amanah ketika melaksanakan tuntutan ibadah sosial – kemanusiaan.

Namun, masalah timbul sekiranya umat hanya menumpukan perhatian kepada ibadah perseorangan tanpa refleksi terhadap permasalahan sosial yang melanda kini – kezaliman.

Mereka sangkakan, Tuhan hanya menilai ibadah tentang banyaknya amalan solat, haji dan ritual zikir.

Akibat masyarakat kita lebih sukakan ibadah ritual sahaja, akhirnya kita menyangkakan ukuran takwa itu daripada banyaknya pengamalan ritual berbanding pengamalan sosial.

Kejahilan kemanusiaan; banyak ritual, sedikit sosial

Refleksi kemanusiaan muncul, apabila Muslim itu benar-benar memahami makna ibadah. Tentang pengabdiannya kepada Tuhan dan tanggungjawab sebagai hamba Tuhan.

Persoalan ibadah membangkitkan perlawanan ini ada pada ibadah ghairu mahdhah. Kadangkala ibadah ini ditakuti oleh penguasa. Ibadah yang menuntut kesedaran tentang perkembangan ilmu dan perlawanan sosial – kemanusiaan.

Namun, sebahagian pemimpin Melayu Islam hari ini banyak melunakkan masyarakat kita dengan ibadah ritual sahaja.

Tidak pelik berbagai tafsiran dan idea-idea islamik yang tidak menjadi keutamaan keluar daripada mulut sebahagian pemikiran pemimpin Melayu Islam.

Mereka menjadikan ibadah mahdhah sebagai bahan komersial demi meraih sokongan Melayu Islam. Contohnya perkampungan Quran, binaan masjid ala-ala Masjid Nabawi Madinah, Taman Quran, dan banyak lagi. 

Maka dalam fikiran segelintir Melayu berkisar tentang solat, haji, puasa, dan banyak lagi yang tidak memberikan manfaat untuk kemaslahatan manusia.

Kalaupun melibatkan tentang sosial, masih berlegar di ruang ibadah tersebut. Banyak pembinaan masjid bukanlah cara membantu menghilangkan kemaslahatan umat, kerana maslahat yang difikirkan di sini menyemarakkan ibadah solat di masjid. 

Sedangkan ritual persendirian seperti solat ini tidak perlu dihabiskan belanja berjuta-juta berbanding menyalurkan kewangan kepada orang-orang susah yang lebih mustahak dan berhak.

Jangan kita lupa, ibadah memudahkan urusan dan kesengsaraan kehidupan manusia lain di dunia ini sangat besar ganjarannya di sisi Tuhan, bahkan banyak hadis menyebut tentang terhapusnya amalan saleh seseorang (ritual) sekiranya seseorang gagal beramal baik (sosial).

Malah dalam kehidupan kita, persoalan ibadah mahdhah tidak sebanyak ibadah ghairu mahdhah.

Kerana berkait dengan urusan kehidupan dan permasalahan yang baharu yang melibatkan kepelbagaian manusia yang belum beres.

Maka kita tidak boleh menyempitkan agama melainkan sentiasa berijtihad mengeluarkan jawapan terhadap tentangan yang baru.

Demikian sebahagian besar agama Islam sebenarnya dilihat banyak tertumpu pada ibadah ghairu mahdhah berbanding ibadah mahdhah

Sebaliknya, Melayu hari ini berbeza. Mereka mencampurkan urusan keduniaan yang anjal dengan ketetapan urusan ketetapan ibadah persendirian. 

Akhirnya, kita gagal mengatur keutamaan atau disebut dalam fiqh awlahiyyat atau fiqh muwazanat dalam urusan kehidupan.

Lebih malang, kita tidak merasakan bahawa ibadah ghairu mahdhah merupakan tuntutan yang lebih besar dalam agama. Maka kita hilang sikap kepedulian dan kemanusiaan.

Kekeliruan dalam memahami pembahagian antara ibadah mahdhah dan ibadah ghairu mahdhah dalam kalangan Melayu Islam hari ini mencorakkan masyarakat yang kemaruk masjid, dan kemaruk haji, tetapi hilang rasa kemanusiaan, bahkan terperangkap dengan kejahilan diri.

Begitulah, kita tidak akan mudah-mudah dijahilkan atas nama agama, sekiranya dibekalkan dengan kefahaman ilmu yang benar!  – 20 Ogos, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen