Finland laksana sekatan sempadan paling ketat di Eropah


Finland mempunyai salah satu kes Covid-19 terendah di Eropah, dengan 5.3 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh dua minggu terakhir. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2020.

FINLAND mengeluarkan kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) daripada “senarai perjalanan hijau”, dengan hanya beberapa negara sahaja boleh memasuki negara itu tanpa sekatan koronavirus mulai Isnin.

Norway juga mengetatkan sekatan pada Sabtu, menambahkan Greece, Britain, Ireland, Austria dan sebahagian Sweden serta Denmark dalam senarai negara tidak digalakkan pergi jika tiada urusan penting.

Kedua-dua negara berjaya mengekang penyebaran wabak yang menyebabkan lebih 780,000 meninggal dunia di seluruh dunia.

Bagaimanapun, mereka berdepan peningkatan jangkitan dan Helsinki pada Rabu berkata Norway juga dimasukkan ke dalam senarai merahnya.

Peraturan Finland yang lebih ketat bermaksud hanya pelancong dari Itali, Hungary, Slovakia, Estonia dan Lithuania akan dibenarkan masuk tanpa alasan kukuh dan kuarantin selama dua minggu.

Ketibaan dari negara bukan EU termasuk Georgia, Rwanda dan Korea Selatan terus dibenarkan secara bebas di bawah langkah tersebut.

“Dasar sekatan Finland lebih ketat di EU, kerana kami ingin mengekalkan keadaan virus yang agak baik,” kata Menteri Dalam Negeri Maria Ohisalo pada sidang media.

Sejak Jun lalu, Helsinki berkata akan membenarkan kedatangan dari negara dengan kurang lapan kes baharu koronavirus bagi 100,000 penduduk dalam dua minggu terakhir, walaupun para menteri sekarang membuat pengecualian kepada negara dengan kurang 10 kes.

Bagaimanapun, syarat Finland jauh lebih ketat berbanding negara jirannya seperti Norway yang membenarkan kedatangan dari negara dengan 20 kes baharu bagi setiap 100,000 orang.

Finland pada masa ini mempunyai salah satu kes Covid-19 terendah di Eropah, hanya mencatat 5.3 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh dua minggu terakhir, walaupun jumlahnya semakin meningkat.

Ohisalo juga mengumumkan sekatan di sempadan darat Finland dengan Sweden dan Norway akan dilonggarkan untuk membolehkan penduduk yang tinggal di kedua-dua negara menyeberang dengan lebih mudah untuk urusan harian. – AFP, 20 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen