WALAUPUN pandemik Covid-19 menutup sebahagian besar ekonomi terutama semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), suku Orang Asli di perkampungan berdekatan Muadzam Shah di Pahang berjaya mengatasi kesannya dengan merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan di hutan dan ladang.
The Malaysian Insight mengunjungi empat kampung Orang Asli di daerah Muadzam Shah dan mendapati penduduk kampung bersemangat kerana dapat mengatasi kesan wabak itu melalui kerja keras dan dengan bantuan kumpulan masyarakat dan kerajaan.
Mereka memandang serius prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan untuk menghentikan jangkitan dari menular ke kampung mereka di mana terdapat warga emas dan kanak-kanak.
Dengan bantuan Yayasan Keamanan Global (GPF), The Malaysian Insight bercakap dengan beberapa penduduk kampung Orang Asli yang menceritakan pengalaman mereka semasa PKP.
GPF merupakan kumpulan masyarakat yang membantu Orang Asli di Pahang membina pam air, memberi pendidikan kepada anak-anak dan mengumpulkan dana untuk membantu mereka berdepan PKP.
Pak Long, seorang Orang Asli berusia 71 tahun dari suku Jakun di Kampung Teraling tinggal di rumah untuk menjaga anak bongsunya berusia empat tahun sementara isterinya yang berusia 35 tahun menoreh getah.
Beliau berkata penduduk Kampung Teraling bersemangat kerana mereka diberi peluang pekerjaan yang membantu mengurangkan kesan PKP yang berkuat kuasa dari 18 Mac hingga 9 Jun.
Pasangan ini memiliki sebidang tanah kecil di kampung yang dipenuhi pokok getah yang merupakan sumber pendapatan utama mereka.
“Sudah tentu kita sedikit tertekan dan bimbang. Kebanyakan kami bimbang dijangkiti virus, jadi kami jarang keluar dari kampung untuk ke bandar,” katanya.
Pak Long berkata ketika PKP, peniaga tidak datang ke kampung untuk mengambil hasil hutan mereka.
“Tauke tak datang selama beberapa bulan kerana PKP. Pada mulanya kami sangat risau tetapi kemudian penduduk kampung ditawarkan pekerjaan di ladang tembikai berdekatan.
“Kami juga mula menerima bantuan daripada kumpulan masyarakat. Oleh itu, kami sangat berterima kasih,” katanya.
Pak Long berkata ladang tembikai malah menawarkan pekerjaan kepada anak-anak Orang Asli yang tidak dapat bersekolah.
Pekerjaan itu memerlukan penduduk kampung untuk menabur benih biji tembikai dan menuai buahnya.
Bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dengan waktu rehat sekejap-sekejap, seorang pekerja dewasa dapat menerima upah RM40 sehari sementara kanak-kanak mendapat RM35.
Pak Long berkata penduduk kampung bebas memilih sama ada mereka mahu bekerja atau tidak.
Semua ahli keluarganya mengambil peluang bekerja di ladang tembikai bersama penduduk kampung lain.
Pak Long berkata ladang itu terletak bersebelahan kampung mereka memudahkan isteri dan anak-anaknya untuk pergi bekerja.

Di samping ditawarkan pekerjaan dia berkata keluarganya sangat beruntung kerana mendapat bantuan daripada GPF, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) selain bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan sekitar RM1,600.
“Walaupun sumber pendapatan utama kami terganggu, kami sangat beruntung,” katanya.
Namun Pak Long berasa lega kerana sekatan itu sudah berakhir dan keluarganya dapat meneruskan kerja seperti biasa.
Katanya walaupun pendapatan mereka semasa PKP mencukupi, keluarga memperoleh lebih banyak pendapatan pada waktu biasa dengan menjual apa sahaja hasil hutan yang dapat mereka kumpulkan.
Seorang lagi penduduk kampung Lina Atan, 28, berkata bahawa kehidupannya sebelum dan semasa wabak itu tetap sama.
Ibu kepada lima anak itu seorang penoreh getah tetapi seperti keluarga Pak Long, dia bekerja di ladang tembikai semasa PKP bersama empat anaknya dari jam 7 hingga 9 pagi dan memperoleh RM20 seorang.
Lina berkata sepanjang PKP dia bimbang virus merebak di kampung mereka.
Dia bekerja di ladang dengan anak-anaknya selama kira-kira dua minggu sebelum memutuskan untuk menjaga anak-anak di rumah.
“Saya lebih bimbang tentang virus daripada yang lain. Tetapi untuk mengatakan gaya hidup saya sudah berubah, saya katakan tidak. Kehidupan saya sama walaupun ketika wabak,” katanya.
Seorang lagi penduduk Kampung Teraling, Salmah memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia sangat gembira kerana sepanjang PKP semua anak-anak bersamanya semasa tempoh itu.
Wanita berusia 40 tahun itu mempunyai enam anak dan dua cucu. Anak-anaknya bekerja di negeri berbeza, melakukan pekerjaan berbeza dan kebetulan ketika PKP dikuatkasakan mereka berada bersamanya.
“Mereka tidak boleh pulang ke rumah masing-masing. Jadi seperti penduduk kampung yang lain, mereka memutuskan untuk bekerja di ladang tembikai,” katanya. – 21 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.

Komen