ERA Umno pasti menang walau dengan meletakkan sesiapa sahaja sebagai calon sudah lama berlalu dan calon hari ini mesti mampu menterjemahkan manifestasi presiden dan parti, kata Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy berkata Umno perlu meletakkan pelbagai yang lebih pelbagai sebagai pilihan bagi memastikan parti dilihat lebih kontemporari.
“Biarlah calon-calon yang kita kemukakan juga menepati citarasa 2017. Sebab apa ini penting? Sebab kita semua pengundi tidak lagi pandang lambang. Zaman letak songkok, songkok menang sudah lama lalu,” kata menteri belia dan sukan itu semasa ucapan penggulungan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
“Kepelbagaian itu bermaksud ada yang daripada golongan senior tetapi tambahlah calon wanita, calon muda malah calon yang mungkin tidak datang daripada hierarki parti. Biarlah parti dilihat segar dan kotemporari,”
Beliau turut memberi memberi amaran pilihan raya umum yang akan datang adalah perkara paling penting kerana ia bakal menentukan nasib bangsa dan negara.
“Apa yang dipertaruhkan bukan sekadar membentuk kerajaan selama lima tahun akan datang. PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) akan menentukan siapa membentuk kerajaan selama lima tahun. PRU14 akan menentukan nasib bangsa dan negara,” katanya.
Khairy berkata cabaran-cabaran urbanisasi dan gangguan teknologi hanya akan meningkat seiring masa dan manifesto pilihan raya Umno perlu menangani masalah ini kerana ia mempengaruhi pemuda dan pengundi.
“Terdapat beberapa ramuan untuk menjadi parti masa depan,” kata Khairy.
“Pertama, kita perlu membawa mesej baharu yang akan mampu menarik pengundi muda. Manifesto Barisan Nasional (BN) mestilah memberi ‘tawaran baru’ untuk belia.”
Manifesto itu juga perlu mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada belia di kawasan luar bandar atau mereka yang belum bersedia memasuki ekonomi digital.
“Ia mesti cuba menyediakan perumahan yang mencukupi. Biarkan ini menjadi tawaran kepada pengundi muda,” kata Khairy. – 9 Disember, 2017.
Komen