PERANCIS pada Rabu mencatatkan kes koronavirus baharu pada kadar harian terpantas sejak Mei, menurut angka rasminya, ketika negara itu bersedia menerima kepulangan rakyatnya dari cuti musim panas.
Hampir 3,800 jangkitan Covid-19 disahkan dalam tempoh 24 jam, kata ketua pengarah (DGS) bahagian kesihatan awam Kementerian Kesihatan.
“Semua petunjuk terus meningkat dan penularan virus semakin meningkat,” kata DGS dalam satu kenyataan.
Lebih 3,000 kes baharu harian didaftarkan hanya dalam masa dua hari sejak Mei, pada Sabtu dan Ahad hujung minggu lalu.
Beberapa jabatan di wilayah Ile-de-France di sekitar ibu negara Paris dan wilayah Provence-Alpes-Cote d’Azur di sekitar bandar pelabuhan Mediterranean Marseille pada Rabu melepasi jumlah amaran 50 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk, kata DGS.
Di seluruh negara, lebih 16,700 jangkitan dikesan sejak seminggu yang lalu.
Sementara itu, jumlah mereka yang menjalani rawatan intensif kerana virus itu masih rendah iaitu 374 orang.
Sejak koronavirus muncul akhir tahun lalu, lebih 225,000 orang dijangkiti di Perancis dan hampir 30,500 meninggal dunia. – AFP, 20 Ogos, 2020.
Komen