Pengilang sokong turunkan cukai dan subsidi upah


Chan Kok Leong

Kajian Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia mendapati majikan mahu kerajaan meneruskan usaha penurunan cukai dan subsidi upah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2020.

PENGILANG setuju dengan tindakan kerajaan menurunkan cukai dan subsidi upah bagi membantu mereka menangani kesan wabak Covid-19, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Dalam Kajian Persekitaran Perniagaan FMM-MIER yang dilakukan Julai lalu, 30.4% pengilang berkata mereka akan menggunakan penurunan cukai/ elaun untuk perbelanjaan Covid-19 seperti diumumkan kerajaan pada 5 Jun di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana).

63.9% lagi berkata insentif itu dapat membantu mereka berdepan tambahan perbelanjaan sepanjang pandemik Covid-19.

“41.2% lagi pengilang berkata mereka juga akan mengambil skim subsidi upah (sehingga September 2020) dan mengurangkan minggu bekerja (seperti mana) langkah diumumkan kerajaan.

“55.9% lagi mengatakan ia inisiatif yang berguna,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Soh membentangkan hasil utama kajian yang dibuat pada 2-31 Julai 2020 meliputi isu seperti persekitaran perniagaan, jualan, pelaburan kapital, jumlah pengeluaran dan pekerjaan.

Kajian dilakukan di seluruh negara itu melibatkan temubual dengan 549 responden daripada 16 industri sub sektor seperti produk kimia (14.9%); makanan, minuman dan tembakau (14.6%); elektrik dan elektronik (10.4%); produk plastik (9.5%); produk besi (8.4%) dan lain-lain.

Inisiatif lain yang turut disokong pengilang adalah elaun pelaburan khas (15.7% akan turut serta) dan pengurangan cukai untuk aturan kerja fleksibel (18.8%).

Tetapi, 57.7% pengilang berkata mereka tidak akan menggunakan inisiatif Penjana kerana bukan daripada kumpulan sasaran dan 25.3% lagi berkata mereka tidak memenuhi kriteria.

20.2% pula berpandangan yang bantuan Putrajaya tidak mencukupi.

Menurut Soh, sebilangan responden juga mengulas tentang ketiadaan bantuan untuk syarikat pertengahan, besar dan multinasional, garis panduan tiada atau tidak jelas untuk Penjana dan proses permohonan dan penyerahan bantuan terlalu lambat.

“Kebanyakan responden mencadangkan pengurangan atau pelepasan kadar cukai korporat dan diskaun tenaga lebih besar untuk industri.

“Cadangan lain termasuklah pengurangan kos perniagaan, insentif cukai tambahan, pelanjutan program subsidi upah dan pengecualian SST,” kata Soh lagi. – 19 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen