Goldman perlu bayar AS$2.5 bilion tunai dalam 10 hari, kata laporan


Goldman Sachs perlu membayar AS$2.5 bilion kepada Malaysia dalam tempoh 10 hari. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2020.

GOLDMAN Sachs perlu membuat bayaran AS$2.5 bilion tunai kepada Malaysia dalam tempoh 10 hari bagi mengesahkan penyelesaiannya dengan Putrajaya berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd, lapor Bloomberg.

Perjanjian pembayaran itu dibuat susulan pengumuman bank yang ia sudah mencapai penyelesaian dengan Putrajaya berjumlah AS$3.9 bilion pada 24 Julai lalu.

Akhbar perniagaan itu melaporkan yang bank pelaburan AS itu mengesahkan penyelesaian dicapai dalam pemfailan dibuatnya di New York pada Selasa.

“Syarikat perlu membayar AS$2.5 bilion tunai kepada Malaysia dalam 10 hari,” kata sumber dirahsiakan identiti dipetik akhbar itu.

Bulan lepas, kerajaan Perikatan Nasional menerima tawaran penyelesaian berjumlah AS$2.5 bilion dibuat Goldman Sachs kerana peranannya dalam skandal 1MDB.

Jumlah itu adalah satu pertiga daripada AS$7.5 bilion yang dituntut kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Di bawah perjanjian itu, Goldman Sachs dihendaki membayar AS$2.5 bilion dan menjamin pemulangan AS$1.4 bilion dalam bentuk aset 1MDB yang dirampas pihak berkuasa seluruh dunia sebagai balasan Malaysia menggugurkan dakwaan ke atas bank itu.

Bagaimanapun, penyelesaian itu dikecam hebat pemimpin pembangkang, bekas peguam negara Tommy Thomas juga mempersoalkan penerimaan tawaran itu.

Thomas berkata penyelesaian itu dibuat tergesa-gesa dan tidak matang, menyebabkan kerajaan menyerahkan kuasa rundingan dimilikinya.

Jelasnya, kerajaan PH sebelum ini menolak tawaran itu kerana jumlah terlalu kecil berbanding jumlah dana negara yang diseleweng.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng pula berkata Goldman Sachs mendapat lebih banyak manfaat kerana membayar kurang daripada apa yang diminta kerajaan PH dalam usaha mendapatkan semula dana negara dirompak daripada 1MDB.

Lim juga mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan mengapa pentadbirannya membenarkan penyelesaian itu dilakukan yang dengan jelas memberi kelebihan kepada Goldman Sachs. – 19 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen