TIGA pesakit dari Medan, Indonesia yang dimasukkan ke Hospital Island di Pulau Pinang Jumaat lalu, diasingkan dan dipantau untuk tempoh 14 hari, kata hospital itu.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Hospital Island berkata pesakit berkenaan dan penjaga mereka memenuhi semua syarat kemasukan sebelum dibenarkan masuk ke negeri itu, dan ini termasuk keputusan negatif ujian saringan Covid-19, tiga hari sebelum tiba di Pulau Pinang.
Hospital itu berkata mereka mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen pada 5 Ogos lalu untuk mengambil tiga pesakit warga Indonesia itu.
“Dengan usaha bersama Malaysia Airports Berhad (MAHB), Jabatan Imigresen dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), pesawat yang membawa tiga pesakit dan dua penjaga, diuruskan dengan berhati-hati ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” kata kenyataan itu.
“Pesakit dan penjaga mereka akan diletakkan di bawah pengasingan ketat untuk 14 hari dengan tiada pelawat dibenarkan masuk.”
Hospital itu berkata Pulau Pinang adalah negeri ketiga, selepas Kuala Lumpur dan Melaka untuk menerima pesakit luar negara ketika pandemik.
Ia berkata daripada 22 permohonan yang diterima daripada pesakit sedia ada di mana rawatan untuk mereka terpaksa ditangguhkan akibat sekatan perjalanan, hanya lima diluluskan oleh jawatankuasa perubatan hospital dan MHTC.
Kekecohan timbul apabila berita tentang tiga pesakit warga Indonesia dibangkitkan pada 14 Ogos, menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew bimbang berkenaan keadaan Covid-19 di Indonesia.
Chow berkata warga asing perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak jangkitan virus itu.
Pengguna media sosial, termasuk Citizens Awareness Chant Group (Chant), mempertikaikan waktu ketibaan pelancong terbabit, apatah lagi Indonesia masih merekodkan jumlah tinggi kes Covid-19 setiap hari.
Mereka turut mempertikaikan pendirian kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negeri berhubung tindakan hospital swasta menerima pelancong perubatan dari Indonesia, yang dianggap sebagai negara berisiko tinggi Covid-19. – 19 Ogos, 2020.
Komen