Kian Ming gesa Putrajaya naikkan peruntukan rangsang pelancongan


Sektor pelancongan terjejas teruk kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2020.

PUTRAJAYA perlu menaikkan peruntukan kepada industri pelancongan domestik dalam pakej rangsangan ekonomi, kata Dr Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata Kementerian Kewangan perlu mengembalikan dan terus memberikan baucer digital pelancongan sebanyak RM100 seorang.

Beliau bagaimanapun mencadangkan jumlah itu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM200.

“Kos asal program ini adalah RM500 juta. Jika digandakan, kosnya akan meningkat kepada RM1 bilion. Saya rasa program ini akan memberi manfaat terus kepada industri dan lebih berkesan berbanding program Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana,” katanya pada perbahasan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, semalam.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan kesan Covid-19 sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 24 Februari lalu.

Baucer digital pelancongan memberikan rakyat Malaysia baucer sehingga RM100 seorang untuk penerbangan dalam negara, kereta api dan penginapan hotel.

Pada 5 Jun lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana (PTF) bagi transformasi pembiataan untuk perusahaan kecil dan sederhana sektor pelancongan negara berjumlah RM1 bilion.

Ong menjelaskan yang PTF bukanlah program geran tetapi aturan pinjaman dengan kadar faedah 3.5% untuk pemain industri.

Katanya lagi, jumlah maksium yang ditetapkan adalah sebanyak RM300,000 untuk PKS dan RM75,000 untuk syarikat mikro.

“Tetapi permohonan akan mengambil masa dan dalam masa untuk mendapatkan pinjaman ini, mungkin lebih banyak syarikat dalam sektor pelancongan ini terpaksa gulung tikar,” katanya.

Tambah Ong lagi, pengembalian baucer digital adalah cara lebih baik dan pantas untuk membantu pemain industri dan merangsang pelancongan dalam negara.

Ong juga menyentuh skim subsidi upah kerajaan dan berharap ia dilanjutkan sehingga Mac 2021.

Katanya, subsidi kepada syarikat terlibat juga perlu dinaikkan, program itu setakat 24 Julai lepas sudah membayar RM8.97 bilion kepada 2.6 juta pekerja dalam 311,191 syarikat.

Bagaimanapun, Ong berkata maklum balas daripada PKS menunjukkan subsidi RM1,200 selama tiga bulan untuk syarikat dengan jumlah pekerja kurang 76 orang tidak mencukupi.

“Ini menyebabkan sebahagian daripada PKS ini untuk mengambil keputusan untuk tidak memohon untuk program PSU tetapi memecat sebahagian daripada pekerja mereka,” katanya.

Katanya lagi, daripada 1.36 syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya 311,191 memohon program subsidi upah.

“Ini bermakna hanya 22.3% mendapat manfaat daripada program PSU. Untuk yang lain, ada kemungkinan besar mereka tidak mohon bantuan ini oleh kerana mereka tidak mampu membayar gaji / upah pekerja sewaktu MCO walaupun dengan bantuan PSU.” – 19 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen