UMNO tidak menyekat hak semua ahlinya untuk bertanding mana-mana jawatan, kecuali jawatan presiden dan timbalan presiden, kata Bendahari Agung Umno Salleh Said Keruak.
Beliau berkata demikian merujuk kepada usul jawatan presiden dan timbalan presiden supaya tidak dipertandingkan pada tahun depan. Usul itu diterima sebulat suara oleh para perwakilan pada Persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71.
Sebaliknya Salleh berkata, ahli Umno lain masih bebas untuk bertanding mana-mana jawatan selain daripada presiden dan timbalan presiden.
“Ini bukan bererti kita menutup hak mana-mana pihak untuk mereka bertanding. Mereka boleh bertanding untuk jawatan-jawatan lain.
“Tapi bagi jawatan presiden dan timbalan presiden kita harus menentukan kestabilan parti. Apabila parti stabil dari segi kepimpinannya, ini akan menjamin kestabilan politik negara,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena PAU hari ini.
Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan The Malaysian Insight yang memetik daripada analisa pemerhati berhubung tindakan pucuk pimpinan Umno meluluskan usul tersebut.
Pemerhati menganggap langkah Umno untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya dalam pemilihan parti selepas ini sebagai satu usaha untuk menyelamatkan kedudukan presiden Najib Razak.
Penganalisis politik Hisommudin Bakar berpendapat, langkah itu bagi mengelak Najib ditolak oleh anggota partinya andai BN kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-14.
Menyentuh mengenai hal itu, Salleh mendakwa ia merupakan dakwaan tidak berbangkit sama sekali.
Beliau berkata penerimaan usul tersebut selari dengan pendirian ketiga-tiga sayap yang tidak mahu dua jawatan tersebut dipertandingkan.
“Kerana kedua-dua pemimpin ini boleh berganding bahu untuk menentukan kekuatan parti dan tidak ada sebab kenapa kita nak dipertandingkan,” katanya.
“Najib seorang pemimpin negara yang berwawasan, yang ingin membawa Malaysia ini ke arah yang lebih gemilang lagi.
“Dan beliau memerlukan seorang timbalan yang setia, seorang sahabat yang boleh membantu beliau untuk menentukan agar matlamat ini tercapai,” katanya. – 9 Disember, 2017.
Komen