PENDUDUK Taman Desa hari ini telah menyerahkan memorandum kepada kontraktor dan pemaju kondominium The Address berhubung isu pencemaran bunyi dan keselamatan di tapak pembinaan itu.
Penduduk Tiara Faber dan Desa 1 Residences yang tinggal berhampiran dengan tapak pembangunan itu juga turut membangkitkan kebimbangan mengenai isu masa bekerja yang panjang dan pengurusan trafik yang teruk.
Pengurus tapak M. Chaudiran yang menerima memorandum itu berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap datang untuk menilai dan memantau aktiviti di tapak itu.
“DBKL datang dengan pegawai jabatan alam sekitar mereka. Penilaian tahap bising kerja kami yang dinilai mereka pada kadar 66 desibel. Tahap bunyi yang dibenarkan ialah sehingga 80 desibel.
“Kami ada dua alat pemantau bunyi di tapak ini dan sebuah lagi di Desa 1 Residences. Kedua alat itu memantau dan mengumpul data secara mingguan, 24 jam sehari. Tahap bising kami antara 60 hingga 70 desibel,” katanya.
Berhubung isu waktu kerja lebih pada 5 November, Chaudiran berkata perkara itu tidak dapat dielakkan.
“Pada 5 November kami dalam proses memasang cerucuk konkrit untuk tapak asas bangunan itu. Proses itu tak boleh dihentikan sebab ia akan mengganggu tiang cerucuk itu jika ia dihentikan.
“Sebab trafik teruk hari itu, trak yang membawa bahan binaan sampai lewat. Sebab itu kami terpaksa lanjutkan sampai jam 8.15 malam.
“Pada 19 November pula, kami hidupkan mesin pengorek. Tapi waktu itu kami belum mulakan kerja lagi. Kemungkinan itulah puncanya bunyi bising itu,” katanya.
Chaudiran memberi jaminan selepas ini tidak akan ada lagi waktu kerja lebih daripada yang ditetapkan. DBKL telah meluluskan waktu kerja bermula jam tujuh pagi hingga tujuh petang untuk pembangunan kondominium The Address itu.
Tambah Chaudiran lagi, DBKL telah mengisukan saman RM1,000 terhadap treler kerana meninggalkan kesan tayar pada jalan raya.
“Dalam seminggu kami dapat empat penghantaran bahan-bahan daripada teler. Bila penghantaran sampai, kami sediakan orang untuk basuh tayar dan kawasan luar sebagai langkah keselamatan.
“Kalau kami tinggalkan bekas tayar pada jalan raya pun DBKL akan saman,” katanya.
Beliau berkata, pintu belakang sekolah yang berdekatan tapak pembinaan jarang diguna oleh ibu bapa, oleh itu kerja pengangkutan di tapak tidak akan menyesakkan trafik.
“Kami dah mula kerja pada 14 November. Selalunya tak sampai 20 buah kereta di pintu belakang sekolah. Ini tak akan menimbulkan isu kesesakan,” katanya.
Pada Ogos tahun lalu, DBKL mengisukan notis menyatakan pihak mereka mnerima permohonan untuk membenarkan pembinaan The Address.
Projek itu terdiri daripada 649 unit dalam tiga blok bangunan setinggi 34 hingga 42 tingkat. Ini akan meningkatkan ketumpatan penduduk dari 60 orang per ekar kepada 650 orang per ekar.
Dalam pada itu, saman difailkan Protect Taman Desa Coalition terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berhubung pembinaan The Address itu telah ditunda kepada dua tarikh berasingan tahun hadapan berikutan campur tangan yang difailkan pihak pemaju.
“Semakan kehakiman akan diadakan pada 29 Januari dan 10 Februari,” kata wakil kumpulan itu, M Gunasekar.
Pada asalnya, pendengaran itu dijadualkan pada 29 November. – 9 Disember, 2017.
Komen