PUTRAJAYA tidak akan mengurangkan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ditahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Tujuan denda RM1,000 adalah untuk melindungi kesihatan individu dan mereka di sekelilingnya, katanya pada sidang media hari ini.
“Bukan niat kita untuk membebankan mereka. Walaupun dengan kompaun RM1,000, ramai yang masih melanggar undang-undang.
“Bayangkan saja jika tiada kompaun atau jika kita mengurangkan denda. Maka lebih banyak orang mungkin melanggar undang-undang.”
Ismail Sabri, yang juga menteri pertahanan, berkata demikian susulan gesaan ahli Parlimen pembangkang agar mengurangkan denda dengan alasan ia menjadi beban kepada mereka yang berpendapatan rendah dan juga pelajar.
Penggunaan pelitup muka di tempat awam diwajibkan pada 1 Ogos. Kerajaan mendefinisikan “awam” sebagai semua pengangkutan awam dan di “tempat yang sesak”.
Bagaimanapun, Ismail berkata orang ramai boleh merayu agar denda RM1,000 dikurangkan.
“Rakyat mempunyai hak untuk merayu, tetapi terserah kepada Kementerian Kesihatan.
“Jika mereka dihadapkan ke mahkamah, mereka juga berhak merayu untuk pengurangan kos.”
Beliau menambah kerajaan tidak akan berkompromi dengan individu yang gagal mengikuti SOP. – 18 Ogos, 2020.
Komen