PUTRAJAYA sedang berusaha mengatasi masalah kelewatan prosedur kuarantin bagi mereka yang pulang dari luar negara, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau mengakui ada masalah kecil yang mengakibatkan kelewatan ketika menghantar mereka yang kembali ke pusat dan hotel kuarantin yang dikhaskan.
“Ini disebabkan oleh jumlah besar rakyat Malaysia yang kembali ke negara ini pada masa yang sama,” kata Ismail dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
“Ini menyebabkan masalah ketika memprosesnya sebelum mereka dihantar ke pusat kuarantin.”
Bagi mengatasi masalah ini, Ismail berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mewujudkan pautan dalam talian untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk mendaftarkan diri.
Ini diharapkan akan membantu proses mereka yang kembali sebelum dihantar ke pusat kuarantin.
“Rakyat Malaysia perlu ke pautan dalam talian dan mendaftarkan maklumat lengkap mereka.
“Ini juga akan merangkumi perincian penerbangan dan waktu ketibaan.
“Nadma sedang proses menyiapkan pautan itu,” kata Ismail.
Ismail berkata, mereka yang kembali juga boleh memilih melalui sistem dalam talian sama ada ingin ditempatkan di hotel atau pusat kuarantin kerajaan.
Bagi tempoh 24 Julai hingga 17 Ogos, seramai 12,646 orang pulang dari luar negara.
Mereka yang pulang ditempatkan di 63 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah dan Labuan.
Daripada jumlah tersebut, 43 orang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ismail berkata, pegawai kesihatan dan polis melakukan 481 pemeriksaan mengejut semalam untuk memastikan mereka yang menjalani kuarantin di rumah mematuhi peraturan.
“Hasil pemeriksaan mengejut itu, empat individu didakwa kerana melanggar undang-undang.” – 18 Ogos, 2020.
Komen