PUTRAJAYA perlu segera melantik ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memandangkan urusan jawatankuasa di bawah Parlimen itu tertangguh sejak peralihan kerajaan, pada Mac lalu, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh.
Anggota PAC itu berkata, sehingga ini kerajaan tidak mengemukakan sebarang usul di Dewan Rakyat untuk melantik pengerusi dan naib pengerusi jawatankuasa itu yang baharu.
“Sejak bermula Langkah Sheraton, PAC tidak dapat menjalankan mesyuarat mahupun menyediakan sebarang laporan.
“Sehingga 18 Ogos, jawatankuasa hanya sempat bermesyuarat sebanyak sembilan kali, berbanding tahun lepas kita dapat bermesyuarat sekurang-kurangnya 60 kali setahun,” kata Woh, kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
PAC merupakan salah sebuah jawatankuasa di bawah Parlimen dengan keahlian rentas parti. Ia sebelum ini dianggotai 14 wakil ahli Parlimen kerajaan dan lima wakil pembangkang.
Selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, pengerusi PAC dilantik daripada wakil rakyat pembangkang.
Waktu itu, Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dilantik sebagai pengerusi PAC.
Selepas perubahan kerajaan, lima anggota PAC termasuk Noraini dilantik sebagai menteri dalam kabinet kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Woh berkata, sejak peralihan kuasa itu, jawatankuasa tersebut tidak dapat menjalankan sebarang prosiding.
“Keseluruhan fungsi PAC dilumpuhkan oleh kerajaan akibat kelewatan menstruktur semula ahli PAC… sudah ada tiga laporan PAC bersedia untuk dibentangkan pada sidang ini manakala tiga lagi laporan belum dimuktamadkan.
“Pada permulaan persidangan kali ini pada Julai, laporan ketua audit negara dibentangkan dan kes-kes dalam laporan ini akan disiasat PAC tapi kita tak dapat adakan prosiding,” katanya.
Sidang Parlimen sesi ini pula akan berakhir minggu hadapan.
“Satu prosiding, seorang saksi pun kita tak boleh panggil, minggu hadapan minggu terakhir untuk sidang kali ini.
“Kalau tidak PAC kena tunggu sidang pada November, kami nak bekerja tapi kami tak boleh kerja,” kata Woh, lagi. – 18 Ogos, 2020.
Komen