Demokrat kecam cara Trump tangani pandemik, penunjuk perasaan antikeganasan


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dikecam kerana dilihat memandang rendah pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2020.

HARI pertama Konvensyen Kebangsaan Demokrat (DNC) menyaksikan parti itu berulang kali mengecam tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap penunjuk perasaan, keganasan polis dan cara presiden Amerika Syarikat (AS) itu menangani wabak Covid-19, lapor Agensi Berita Sputnik.

Konvensyen, yang diadakan di Milwaukee, Wisconsin akan berlangsung selama empat hari, sebahagian besarnya secara maya.

Isnin malam menandakan hari pertama dan Joe Biden akan berucap pada penutup selepas secara rasmi dicalonkan sebagai calon presiden.

Hari pertama dimulakan dengan montaj video penunjuk perasaan dan menyoroti insiden George Floyd, seorang lelaki kulit hitam berusia 46 tahun yang maut di tangan seorang pegawai polis kulit putih di Minnesota pada Mei.

Bekas Wanita Pertama Michelle Obama berkata Trump memandang rendah pandemik Covid-19 dan di pentas antarabangsa pemimpin itu telah “berpaling dari kita”.

DNC turut menayangkan video untuk memberi penghormatan kepada orang-orang di AS yang terkorban akibat Covid-19, termasuk lebih 900 petugas penjagaan kesihatan.

Sehingga Isnin petang secara keseluruhan AS mencatatkan lebih 170,400 kematian akibat Covid-19 dan lebih 5.4 juta kes, menurut data Johns Hopkins University.

Gabenor New York Andrew Cuomo berkata Trump telah menyebabkan perpecahan di AS dan mencetuskan api kebencian terhadap imigran dan kumpulan minoriti di negara itu.

Sementara itu, Gabenor Michigan Gretchen Whitmer pula berkata Trump “adalah presiden yang berperang dengan rakyat Amerika dan bukannya virus yang membunuh kita dan ekonomi kita.”

Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser mengkritik keputusan Trump menggunakan ketenteraan untuk menyuraikan tunjuk perasaan di hadapan Rumah Putih.

Senator Bernie Sanders mengatakan Trump “bukan hanya ancaman terhadap Demokrasi ... tindakannya juga memudaratkan lagi wabak.”

Sanders, yang menarik diri daripada perlumbaan calon presiden, menyatakan sokongannya terhadap Biden dan memberi amaran autoritorianisme Trump mesti dihentikan.  – Bernama, 18 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen