Polis siasat dakwaan liwat ahli politik


Alfian Z.M. Tahir

POLIS membuka siasatan laporan liwat yang didakwa dilakukan oleh seorang ahli politik tujuh tahun lalu terhadap seorang lelaki berumur dalam lingkungan umur 20-an.

Lelaki itu membuat pengakuan bersumpah pada akhir Jun lalu merakamkan kejadian tersebut. Beliau kemudian membuat laporan polis pada hujung minggu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihak polis menerima laporan namun enggan mengulas lanjut.

“Laporan dibuat pada hujung minggu di Kuala Lumpur,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, ditanya kenapa beliau mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk mendedahkan kejadian seperti yang didakwa, pengadu berkata beliau akan mengadakan satu sidang media tidak lama lagi.

“Buat masa ini saya tidak boleh komen banyak kenapa saya tunggu sehingga sekarang untuk dedahkan kejadian ini.

“Saya akan adakan sidang media tidak lama lagi,” kata pengadu.

Beliau menambah setakat ini belum mengambil khidmat peguam. Tindakannya membuat aduan ke balai polis juga dilakukan sendiri, katanya.

Dalam akuan berkanun, pengadu berkata beliau bertemu dan diliwat oleh ahli politik berkenaan empat kali sepanjang 2013 dan setiap kali setelah itu dibayar RM300.

Pengadu juga berkata pada pertemuan keempat, ahli politik itu meminta untuk diperkenalkan dengan kawan-kawannya yang lain.

Katanya, pertemuan ahli politik itu dengan kawannya – yang dinamakan dalam akuan berkanun itu – berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dan rakannya itu juga dibayar RM300.

Pengadu juga mendakwa menyimpan segala bukti rakaman perbualannya dengan ahli politik berkenaan. – 18 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen