
KERAJAAN menimbang untuk mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera, kata Mohd Redzuan Yusoff.
Menteri Tugas-Tugas Khas memberitahu Dewan Rakyat, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji bagaimana hendak menguatkuasakannya sebagai undang-undang.
“Sementara itu, kita sedang membina satu budaya baharu untuk menggunakannya sendiri,” katanya semasa menjawab dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii (Kuching-PH) mengenai maklum balas kerajaan terhadap premis perniagaan yang masih merekodkan maklumat pelanggan secara manual daripada menggunakan aplikasi MySejahtera.
Mengenai perlindungan data, Redzuan berkata pengguna MySejahtera dilindungi Akta Perlindungan Data Peribadi namun tidak menyatakan sama ada data berkenaan akan dipadam.
Ini berikutan soalan Dr Yii yang bimbang data dikumpul melalui apikasi MySejahtera akan disalahgunakan.
Redzuan juga berkata 322 pesakit Covid-19 dikesan melalui aplikasi MySejahtera.
“Setakat 16 Ogos, 15.1 juta orang telah mendaftar MySejahtera,” kata ahli Parlimen Alor Gajah.
Redzuan menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (Gopeng-PH) yang bertanya mengenai jumlah pengguna aplikasi MySejahtera dan sama ada aplikasi itu membantu kerajaan mengesan pesakit Covid-19.
Redzuan bagaimanapun tidak daat menjawab soalan mengapa masih ada generasi ketiga jangkitan Covid-19 dalam kluster Sivagangga dan Kulim di Kedah apabila ditanya berhubung keberkesanan aplikasi MySejahtera. – 18 Ogos, 2020.
Komen