PERWAKILAN Umno hari ini diberitahu agar tidak “bakar” parti itu hanya kerana tidak menyukai pemimpinnya, yang merujuk kepada presiden parti Najib Razak.
Wakil Kelantan, Amran Ariffin berkata mereka perlu bertoleransi kerana manusia tidak sempurna, termasuk Umno.
“Manusia tidak sempurna begitu juga Umno. Sebab Umno tidak dipimpin oleh malaikat.
“Kelemahan parti jangan sampai bakar kelambu sebab marahkan nyamuk. Jangan bakar parti sebab tidak sukakan pemimpin. Kita kena berfikiran besar,” kata Amran ketika membahaskan mengenai isu agama dan pendidikan.
Beliau juga menggesa ahli parti membantu Najib dan kepimpinan kerana Umno adalah untuk orang Melayu dan Islam.
Amran berkata Umno wujud untuk menegakkan Islam, Raja-raja Melayu dan hak dan keistimewaan orang Melayu.
Ia bertentangan dengan apa yang dipertahankan pembangkang, sambil menambah ia dilahirkan daripada kemarahan dan kekecewaan.
“Tersingkir dan tubuh parti baru. Tidak dapat projek pun marah dengan parti kita,” kata Amran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Umno boleh dikalahkan oleh pembangkang jika ahli tidak menjalan tugas dengan baik, walaupun mereka berada di landasan yang betul. – 9 Disember, 2017.
MENYUSUL
Komen