SERAMAI 11 tahanan maut ditembak, 33 yang lain masih bebas dan seorang berjaya diberkas susulan insiden meloloskan diri dari penjara di Lae, bandar kedua terbesar di Papua New Guinea (PNG), lapor agensi berita Xinhua memetik akhbar tempatan Post Courier pada Isnin.
Pesuruhjaya Perkhidmatan Pemulihan PNG, Stephen Pokanis berkata, kejadian itu berlaku antara pukul 1.20 tengah hari dan 1.30 malam waktu tempatan pada Jumaat di penjara Buimo di Lae.
Di antara 45 tahanan yang terlibat, 10 daripadanya telah disabitkan bersalah manakala 35 lagi masih ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Pokanis berkata beliau menerima laporan daripada pihak berkuasa penjara terdapat rungutan oleh banduan yang ditahan mengenai kelewatan pendengaran kes mereka di mahkamah.
“Mereka telah menyuarakan kebimbangan mereka tetapi masalah itu sudah dijelaskan oleh komander,” kata Pokanis. “Dia menjelaskan kepada mereka bahawa perbicaraan mahkamah terbatas kerana Covid-19 tetapi mereka tidak menerima alasan itu.”
Sebaliknya, pada Jumaat petang tahanan terbabit berkumpul di pintu penjara dan menuntut dibebaskan, mendakwa seorang tahanan sakit serta memerlukan rawatan perubatan, kata Pokanis.
Beberapa pegawai mengesyaki kebimbangan terhadap Covid-19 mungkin menjadi punca di sebalik insiden itu kerana seorang warden sebelum ini didapati positif virus berkenaan.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Polis masih memburu 33 lagi tahanan. – Bernama, 17 Ogos, 2020.
Komen