PERBICARAN kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditamatkan lebih awal selepas mahkamah membenarkan Najib Razak hadir sidang Parlimen untuk sesi pengundian.
Hakim Collin Lawarence Sequerah membenarkan Najib balik pada jam 11.15 pagi selepas peguam Muhammad Shafee Abdullah memohon kebenaran mahkamah supaya bicara ditamatkan awal.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bersetuju.
Najib akan hadir di Parlimen untuk sesi pengundian Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, hari ini.
Sequerah menangguhkan bicara sehingga esok.
Najib, 67, yang juga ahli Parlimen Pekan adalah wakil rakyat kerajaan Perikatan Nasional, yang mempunyai majoriti tipis 113 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Beliau berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB. Sekiranya sabit bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun. – 17 Ogos, 2020.
Komen