DEWAN Rakyat menerima usul untuk menurunkan kadar kompaun yang kini ditetapkan pada kadar RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka di kawasan sesak.
Timbalan Yang Dipertua Rashid Hasnon berkata, usul dikemukakan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) itu diterima untuk dibahaskan di Kamar Khas Dewan Rakyat jam 2.30 petang ini.
“Saya meneliti dan mendapati perkara ini tertentu, membabitkan keputusan orang ramai dan berkehendakkan disegerakan, perkara ini juga perlu disegarakan.
“Oleh demikian saya membenarkan usul ini dibahaskaan mengikut peraturan mesyuarat 16(6).
“Usul akan dibahaskan pada hari ini 2.30 petang di kamar khas,” kata Rashid.
Usul berkenaan bertujuan meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memberi kuasa menetapkan kadar kompaun tersebut.
Yii membentang usul itu mengikut peraturan 18(1) yang dikemukan kepada Speaker Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Ketika membentangkan usul tersebut, Yii berkata kadar denda RM1,000 yang dikenakan sekarang agak tinggi dan membebankan terutama bagi rakyat tidak berkemampuan seperti golongan pelajar.
Katanya, kerajaan tidak memberi takrif khusus bagi “kawasan sesak” dan penguatkuasaan pula tidak seragam.
Kadar hukuman itu juga terlalu berat kepada individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.
“Usaha ini melibatkan kepentingan orang ramai dan polisi mandatori ini memberikan kesan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama miskin dan kaya,” katanya.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob semalam memberi jaminan pesalah yang dikenakan kompaun RM1,000 tersebut pada masa ini boleh merayu untuk mengurangkannya. – 17 Ogos, 2020.
Komen