LAUNGAN “kebebasan” bergema apabila ratusan orang berarak semalam di Madrid membantah keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan sekatan lain bagi mengekang wabak Covid-19.
Penunjuk perasaan bertepuk tangan dan bersorak membawa bendera Sepanyol berhampiran Plaza Colon, di tengah kota itu selepas himpunan itu meraih sokongan media sosial.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk buat sendiri dengan slogan antaranya “virus itu tak wujud”, “pelitup muka membunuh” dan “kami tak takut”.
Tunjuk perasaan itu menarik hadirin pelbagai latar belakang termasuklah pencinta teori konspirasi, pejuang hak dan penentang vaksinisasi.
Pilar Martin, suri rumah berusia 58 tahun dari bandar Zaragoza, berkata beliau datang ke Madrid untuk himpunan kerana percaya kerajaan seluruh dunia membesar-besarkan jumlah jangkitan untuk mengekang kebebasan rakyat.
“Mereka paksa kami pakai pelitup muka, mereka mahu kami duduk di rumah. Jelas sekali mereka berterusan memperdaya kita dengan bercakap isu wabak. Semuanya penipuan,” katanya kepada AFP ketika ditemui pada himpunan itu.
Ramai hadirin memetik dokumentari palsu bertajuk “Plandemic” yang sudah dipadam beberapa platform media sosial termasuklah YouTube dan Facebook kerana didapati membuat dakwaan salah, seperti pemakaian pelitup muka menjejaskan kesihatan dan vaksin “membunuh jutaan orang”.
Ramai penunjuk perasaan tidak memakai pelitup muka walaupun ia dihendaki undang-undang seluruh Sepanyol, yang menyaksikan lonjakan kes jangkitan selepas perintah berkurung tiga bulan tamat pada 21 Jun lalu.
Pemakaian pelitup muka pada mulanya dikuatkuasa pada Mei untuk penggunaan pengangkutan awam dan diluaskan ke seluruh negara apabila wabak membunuh hampir 29,000 orang di negara itu.
Protes berlaku dua hari selepas kerajaan mengumumkan sekatan terbaru mengekang penularan virus, termasuklah penutupan pusat hiburan dan larangan merokok di tempat awam apabila penjarakan fizikal dua meter tidak dapat dilakukan. – AFP, 17 Ogos, 2020.
Komen