PERDANA Menteri Jacinda Ardern semalam mengumumkan penangguhan pilihan raya New Zealand selama empat minggu kepada 17 Oktober selepas kes baharu Covid-19 dilaporkan yang menghalang proses berkempen.
New Zealand yang dijadualkan melakukan pilihan raya pada 19 September kembali memerangi wabak Covid-19 minggu lepas yang memaksa perintah berkurung dikuatkuasa di Auckland seterusnya menamatkan 102 hari tanpa kes jangkitan baharu.
“Keputusan ini memberikan semua parti lebih sembilan minggu untuk berkempen dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai banyak masa memastikan pilihan raya boleh dilakukan,” kata Ardern.
Pemimpin haluan tengah-kiri itu berdepan tekanan mengubah tarikh pilihan raya selepas semua parti politik menangguhkan kempen mereka selepas kes baharu yang masih belum diketahui sumber jangkitannya dilaporkan minggu lepas.
Ardern mengakui wujud kebimbangan masyarakat tentang kemungkinan wabak kembali meledak, selepas ia pertama kali dikesan melibatkan empat sekeluarga di Auckland pada Selasa lepas.
Pada Ahad, Kluster Auckland bertambah kepada 49 kes positif dan Ardern berkata beliau menghabiskan masa hujung minggu berbincang dengan ketua parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya tentang tarikh pemilihan.
Katanya, perubahan itu bermakna semua parti akan berkempen dalam situasi sama dan beliau tidak akan mengubah tarikh 17 Oktober itu walau apa yang berlaku.
“Saya tiada niat langsung untuk mengubah tarikh itu,” katanya.
Ardern menerajui kempen, dengan rating peribadinya mencecah 60% disebabkan kejayaan mengetuai negara ketika wabak, serangan pengganas masjid Christchurch tahun lepas dan letupan gunung berapi White Island.
Partinya, Parti Buruh, dijangka menang tanpa sokongan parti kecil lain- Greens dan New Zealand First (NZF)- yang membentuk kerajaan pada penggal pertama pentadbirannya. – AFP, 17 Ogos, 2020.
Komen