Najib berkempen untuk siapa di Slim?


Chan Kok Leong

Ucapan Najib Razak di PRK Slim banyak berkisar tentang dirinya dan bukan kempen dan calon BN di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Ogos, 2020.

DISAMBUT sorakan “Bossku”, Najib Razak memasuki Dewan Serbaguna Felda Trolak Selatan tepat jam 9.30 malam pada Sabtu lalu.

Memakai baju Melayu merah dengan sampin hitam siap bersongkok dan bersandal, ini adalah majlis ketiga dihadirinya pada hari itu.

Selepas menukar pakaiannya, beliau kelihatan segar dan bersemangat untuk berucap lebih 35 minit.

Najib memulakan hari Sabtunya dengan hadir majlis pelancaran pusat jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil Slim di Slim River pada sebelah pagi yang turut dihadiri Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Selepas itu, beliau bergerak ke Felda Gunung Besout 1 untuk majlis ceramahnya jam 3.30 petang.

Ucapan Najib malam itu di Felda Trolak Selatan mirip dengan ucapannya di Felda Gunung Besoput 1. Beliau tidak banyak bercakap tentang calon BN untuk PRK Slim, isi ucapannya lebih banyak tentang dirinya sendiri.

Pertama, Najib memberitahu khalayak yang beliau dihukum kerana memberikan 99% daripada RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International Sdn Bhd untuk kebajikan.

“Saya beri RM600,000 kepada anak yatim tetapi saya didenda lima kali ganda- RM3 juta. Dan kerana beri RM600,000 kepada Umno menjalankan aktiviti kebajikan, saya didenda RM1.5 juta lagi.

“Saya tak boleh kritik keputusan hakim tetapi saya mahu beri fakta kepada rakyat untuk mereka tengok sama ada ia adil atau tidak,” kata Najib.

Bulan lepas, mahkamah menyabitkan Najib bersalah ke atas tujuh pertuduhan menerima RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang masuk ke dalam akaun peribadinya. Beliau dijatuhi hukuman penjara 72 tahun, dijalankan serentak selama 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Walau sudah disabit bersalah seleweng dana negara, Najib Razak masih dianggap hero sebilangan orang Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Ogos, 2020.

Isu kedua dibangkitkan Najib adalah tentang sumbangannya kepada peneroka Felda sepanjang menjadi perdana menteri daripada 2009 sehingga 2018, sumbangan yang disifatkannya lebih besar berbanding pemimpin lain.

“Tuan-tuan ingat tak bila kami beri RM15,000 kepada setiap peneroka semasa saya jadi menteri Felda?” tanya Najib.

Untuk menekankan kepentingan isu dibangkitkannya, Najib juga bertanya jika hadirin ingat siapa yang memulakan Felda.

Tetapi, bila khalayak menjawab “Umno”, Najib menambah: “Juga ayah saya, Tun Razak.”

“Dan kerana itu, saya mahu buat lebih banyak untuk Felda ketika saya jadi perdana menteri,” kata bekas presiden Umno itu.

Ramah mesra tarik sokongan

Walaupun sudah disabit bersalah dan hukumannya ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan, Najib yang kini hanyalah ahli Parlimen Pekan dan penasihat BN, masih mengekalkan imejnya sebagai mangsa, pejuang dan penyelamat dalam kalangan sebilangan orang Melayu.

Coretannya di Facebook sentiasa dapat perhatian, berkisar tentang isu semasa sehinggalah kepada bantuan dan bayaran tunai diberikan pentadbirannya kepada peneroka Felda dan kumpulan memerlukan.

Data pilihan raya menunjukkan Slim adalah kubu kuat BN, dengan tujuh penempatan Felda yang menyumbang lebih separuh daripada 22,815 pemilih berdaftar.

Pada pilihan raya 2018, lebih separuh pengundi Felda (51.1%) di situ memberikan undi mereka kepada BN, PAS meraih 29.2% dan calon Pakatan Harapan hanya mendapat 19.5%.

Dengan BN kini mendapat sokongan PAS menerusi Muafakat Nasional, besar kemungkinan BN akan berjaya mengekalkan pegangannya di kerusi itu.

Najib yang banyak turun berkempen di PRK diadakan di Semenanjung selepas 2018, berjaya menarik tumpuan dan perhatian ramai menggunakan jenama “Bossku”.

Di Slim, Najib meramahi penduduk tempatan, tidak banyak bercakap soal politik tetapi lebih menyentuh isu setempat.

Di Felda Gunung Besout misalnya, Najib menghabiskan hampir tiga jam bersama penduduk sebelum bergerak pulang.

Slim adalah kubu kuat BN, separuh pengundi tujuh penempatan Felda di situ menyokong BN pada 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Ogos, 2020.

Selepas ucapannya tamat sekitar 4 petang, beliau menyertai penduduk tempatan di masjid kawasan itu untuk solat Asar sebelum melakukan aktiviti bertemu penduduk.

Beliau kemudiannya duduk hampir 45 minit di sebuah warung dengan pemimpin Umno tempatan berbincang isu harga minyak sawit sambil memuji keenakan satay dihidangkan.

Selepas rombongan Najib bergerak balik, peneroka Aziz Mohd berkata itu adalah kali pertama beliau berjumpa Najib secara dekat.

“Dia lebih mesra berbanding yang saya jangka,” kata peneroka generasi kedua berusia 45 tahun itu.

“Bagus lah dia datang ke sini dan jelaskan banyak benda kepada kami,” tambahnya.

Ditanya pendapatnya sebab Najib datang walaupun BN memang dijangka menang, Aziz berkata:

“Sebelum dan selepas PRU 2018, banyak cerita buruk tentang dia.

“Saya rasa dia datang untuk bersihkan namanya dan jelaskan apa yang berlaku di pihaknya selepas kes mahkamah.

“Dan selepas dengar dia hari ini, saya rasa dia mungkin tak dapat layanan adil,” katanya. – 17 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen