Penguatkuasa MBSA ambil rasuah, penjaja tanggung akibat


Diyana Ibrahim

MBSA melancarkan operasi besar-besaran terhadap peniaga di sekitar Sungai Buloh selepas skandal rasuah penguatkuasanya terbongkar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2020.

PENIAGA kecil di sekitar Bandar Sungai Buloh kecewa dengan tindakan penguatkuasaan yang didakwa memangsakan mereka selepas skandal rasuah kerajaan tempatan terdedah kepada umum.

Wakil kepada 101 peniaga kecil itu berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam Selangor (MBSA) merobohkan gerai mereka apabila kes rasuah melibatkan penguatkuasa di situ terbongkar.

Ia menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan ketika berdepan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata wakil badan sukarela peniaga kecil Bandar Baru Sg Buloh Afifi Zaidi.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak menafikan kesalahan berniaga tanpa lesen namun mempersoalkan tindakan terburu-buru itu yang dibuat selepas skandal rasuah itu terbongkar.

“Kalau kata operasi itu hendak buktikan pengawai tak ambil rasuah, panggil saja SPRM audit tapi kenapa peniaga kecil terpaksa tanggung akibat,” katanya.

Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk pengarah bahagian penguatkuasaan MBSA kini ditahan agensi antirasuah bagi kes menerima rasuah bagi melindungi judi dan perniagaan haram.

Susulan itu, puluhan anggota pengkuatkuasa MBSA melakukan operasi besar-besaran ke atas premis perniagaan di kawasan itu, yang dikritik kerana didakwa sebagai tindakan balas dendam.

Ekoran itu, MBSA mengadakan sesi libat urus pula pada hari ini untuk mengesan dan memberi lesen kepada penjaja di kawasan itu.

Namun peniaga tersebut mempersoalkan keikhlasan dalam tindakan tersebut kerana baru kini MBSA mahu mengadakan rundingan dengan mereka selepas operasi besar-besaran dijalankan.

“Kita memang terkilan patut buat rundingan baru ambil tindakan. Kalau selepas rundingan dibuat peniaga tidak ikut barulah ikut proses undang-undang itu.

“Bila kita diberi notis kita memang setuju itu kesalahan kerana berniaga tanpa permit. Walaupun kita mohon permit banyak kali sebelum ini, tapi gagal.

“Tapi itu kita tak nak pertikaikanlah, isu pentingnya sekarang ekonomi tengah teruk kami tidak boleh berniaga,” katanya.

Operasi besar-besaran itu dilakukan MBSA ke atas peniaga serentak siasatan agensi antirasuah ke atas pihak berkuasa kerajaan tempatan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2020.

Afifi berkata dalam operasi yang dipertikaikan itu, MBSA bukan saja memburu peniaga tanpa lesen namun pemilik atau penyewa premis perniagaan yang mengubahsuai bangunan.

Malah, operasi tersebut dijalankan ketika tempoh 24 jam yang diberikan itu belum berakhir.

“Macam saya, keluarga ada buka kilang dan (kami) berniaga depan kilang. Kilang ada permit tapi tetap kena sebab atas kesalahan tambah struktur bangunan awning.

“Itu pun diroboh dengan dinding semua,” katanya.

Beliau menambah, gerainya itu dirobohkan sebelum mereka sempat menyiapkan kedai dalam kontena.

“Masalahnya lori nak ambil kontena hanya sampai jam 3 petang. Itu pun MBSA tak nak beri masa biarpun tak sampai 24 jam.

“Mereka cakap beri masa 24 jam tapi pagi itu dah datang nak terus robohkan,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap satu penyelesaian akan timbul dalam pertemuan hari ini, terutama mengenai kelulusan permit penjaja.

Operasi besar-besaran itu dilakukan MBSA ke atas peniaga serentak siasatan agensi antirasuah ke atas pihak berkuasa kerajaan tempatan itu.

Ia bermula selepas seorang peniaga burger mendakwa kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup berleluasa di kawasan itu tanpa penguatkuasaan.

Peniaga itu mendakwa, pendatang asing bebas membuka gerai secara haram menjual rokok seludup, sedangkan gerai burgernya dirobohkan penguatkuasa.

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara lain mendapati kalangan penguatkuasa MBSA menerima bayaran bulanan sehingga ribuan ringgit untuk melindungi perniagaan terlibat.

Penjaja yang yang terjejas dengan penguatkuasaan MBSA bertemu Datuk Bandar Shah Alam Haris Kasim dan MBSA dalam program dua hari bermula semalam. – 16 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen