Ketua menteri minta penduduk Pulau Pinang tidak panik


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata situasi Covid-19 di negeri itu berada dalam keadaan terkawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2020.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini menggesa semua penduduk agar bertenang dan tidak panik kerana keadaan Covid-19 di negeri ini terkawal.

Dalam satu kenyataan media, ketua menteri berkata kes positif harian yang dilaporkan di negeri ini masih dalam skala terkawal dan minimum.

Beliau berkata, setakat ini masih belum ada laporan berkaitan kluster baharu muncul di Pulau Pinang.

“Kes terbaharu yang dikesan adalah dari kluster negeri yang berbeza, iaitu Kluster Sivagangga Cluster, Kurau, dan Tawar. Sementara itu, individu yang disiasat (PUI) berasal dari pelbagai tempat dan daerah,” kata Chow.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara pentadbiran (Temco) sementara jika dianggap perlu.

Bagaimanapun beliau berkata, ia hanya boleh dibincang dan dicadangkan di peringkat negeri tetapi keputusan muktamad perlu diperoleh daripada kerajaan pusat.

“Jika terdapat peningkatan kes positif secara tiba-tiba di satu daerah, maka pejabat kesihatan daerah dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) sudah dimaklumkan untuk mengambil langkah awal dengan membuat penilaian risiko dan menasihati Jawatankuasa Keselamatan Pulau Pinang (MKNPP) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut beliau, tindakan menjejaki kontak rapat dengan pesakit Covid-19 akan terus dijalankan oleh jabatan kesihatan Pulau Pinang mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan jangkitan tidak tersebar secara meluas.

“Semua pihak perlu bertenang dan terus melakukan aktiviti harian seperti biasa dengan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, dan mematuhi semua SOP ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Seminggu lalu, selepas bebas Covid-19 selama hampir 100 hari, pulau ini mengesan satu kes positif virus.

Pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang kini berjaga-jaga dan dewan bandaraya memperketat langkah di beberapa bahagian di negeri ini selepas kes baru mulai muncul di pulau itu.

Pada 7 Ogos, seorang pesakit wanita berusia 56 tahun dari Kedah (Kes 9129), yang dimasukkan ke Hospital Adventist Pulau Pinang kerana jangkitan kaki, kemudian diuji positif. Beliau adalah kakak ipar Kes 9113.

Pulau Pinang mempunyai dua kes baharu semalam di George Town, dan Kementerian Kesihatan mengumumkan kedua-duanya kontak rapat dengan kes indeks (Kes 9113) Kluster Tawar, seorang ahli perniagaan berusia 53 tahun dari Baling, Kedah, yang menghadiri pengebumian ahli keluarga dari 31 Julai hingga 1 Ogos. – 16 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen