KEMENTERIAN kesihatan Vietnam mempertimbangkan pembelian vaksin koronavirus Rusia dalam jumlah besar, kata media kerajaan pada Jumaat, walaupun terdapat keraguan global mengenai keberkesanan dan keselamatannya.
Banyak pihak memuji kejayaan negara komunis yang berjumlah 95 juta penduduk itu dalam mengekang penularan wabak dan hampir 100 hari tanpa mencatat sebarang jangkitan tempatan sehingga bulan lalu.
Bagaimanapun, wabak di resort pantai Danang menjadikan negara dalam keadaan berjaga-jaga semula dan beberapa bandar berada di bawah pengurungan maya.
Vietnam bakal menerima hingga 150 juta dos dengan sebahagian kecilnya disumbangkan oleh Rusia, lapor akhbar Tuoi Tre, sambil menambah pemangku menteri kesihatan Nguyen Thanh Long sudah meluluskan pembelian tersebut.
Namun, laman web berita negeri VNExpress berkata para pegawai masih mempertimbangkan rancangan kementerian kesihatan untuk membeli vaksin.
Moscow berkata minggu ini yang ia berjaya membangunkan vaksin pertama di dunia yang menawarkan “kekebalan mampan” terhadap koronavirus dan berada di peringkat akhir percubaan terhadap manusia.
Jerman dan Amerika Syarikat (AS) adalah antara negara yang membangkitkan keraguan terhadap dakwaan itu, selepas para saintis Barat meluahkan kebimbangan mengenai kecepatannya dan berkata para penyelidik mungkin mengambil jalan singkat.
Tidak jelas bila Vietnam akan menerima vaksin, tetapi Tuoi Tre melaporkan Rusia juga bersetuju untuk menyumbangkan “sejumlah mesin” dan peralatan perubatan lain untuk membantu mengekang penularan wabak tersebut.
Vietnam melaporkan hanya 911 kes koronavirus dan 21 kematian susulan tindak balas kesihatan awam yang agresif yang melibatkan kuarantin besar-besaran dan rejim pengesan jejak yang tegas.
Negara ini mengekalkan hubungan yang baik dengan Rusia sejak era Kesatuan Soviet. – AFP, 16 Ogos, 2020.
Komen