CALON ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersyukur dengan kemenangannya dalam pertandingan merebut jawatan berkenaan.
Dalam penghargaan kepada semua penyokong, beliau berkata tumpuannya kini untuk menyatukan Bersatu yang berpecah belah.
“Fokus kita ialah penyatuan Armada dan bersatu itu sendiri, dan mulakan kerja segera demi rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua perwakilan,” katanya di Facebook.
Beliau bertanding menentang ahli exco sayap Pemuda Bersatu Muzammil Ismail yang menerima kekalahan tersebut.
Bekas anggota exco itu juga mengucapkan tahniah kepada Fayhsal dan berharap pergerakan itu akan dijaga sebaiknya di bawah barisan pemimpin baharu.
“Saya merayu jagalah Armada ini sebaik mungkin. Jangan sisihkan mereka yang tidak memihak. Kuatkan dan rapatkan saf kerana ini amanah yang akan dihisab oleh Allah.
“Pulihkan Armada. Bangkitkan Armada dengan nafas yang baru,” katanya.
Jawatan timbalan ketua Pemuda pula dimenangi Ceasar Mandela Malakun dan 15 calon turut memenangi jawatan exco.
Keputusan rasmi itu diumumkan pengerusi jawatankuasa pemilihan Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan.
Seramai 15 anggota exco baharu itu antara lain menyenaraikan Abqaree Fawwaz Bakean, Adi Farhan Isa, Muhammad Afiq Nazmi Azharin, Khairul Amilin Abdullah Shukor dan Rosdi Ghani.
Turut menang, Johainizamshah Johari, Muhammad Zulfadhly Zulkifly, Muhammad Zikri Zulkifli dan Muhammad Farhan Abdul Rahim.
Enam lagi dalam senarai exco baharu adalah Henry Hamdan, Mohamad Firdaus Mohd Rashid, Mohd Amir Fitri Muharam, Jun - Abdul Mutalib Hasan, Hariz Haizal Ismail dan Ahmad Sobree Abas.
Fayhsal, ketua baharu pergerakan itu, mencetus kontroversi minggu lalu apabila muncul satu rakaman video menunjukkan beliau menawarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri ketika berkempen untuk pemilihan itu.
Ia meraih kritikan dari pelbagai pihak yang menganggap tawaran tersebut sebagai satu bentuk rasuah.
Penyandang jawatan itu Syed Saddiq sudahpun digugurkan keahlian dari Bersatu dan menyokong bekas pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan parti baharu.
Turut dipecat, ratusan pemimpin bahagian yang turut menyokong Dr Mahathir.
Dr Mahathir menubuhkan parti baharu itu selepas gagal mencabar pemecatannya serta beberapa lagi pemimpin kanan dan ahli Parlimen Bersatu daripada parti.
Pemecatan itu atas penentangan ke atas Presiden parti, Muhyiddin Yassin yang membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan dan menubuhkan kerajaan baharu bersama PAS dan Umno.
Dr Mahathir mengumumkan parti baharunya Pejuang akan mendukung asas perjuangan asal Bersatu iaitu menentang kerajaan kleptokrat. – 16 Ogos, 2020.
Komen