BERSATU akan tetap mempertahankan kerusi Parlimen Sri Gading selepas wakilnya itu beralih arah menyokong Dr Mahathir Mohamad, kata pemimpin parti.
Ketua Pemuda Bersatu Sri Gading Muhamad Zulfadhly Zulkifly berkata mereka tetap mahu mempertahankannya memandangkan parti itu mempunyai kelebihan di kawasan tersebut.
Mereka bersedia menentang kumpulan lawan yang kini membentuk parti baharu, Parti Pejuang Nasional bawah pimpinan Dr Mahathir.
“Pucuk pimpinan akan pertahankan kerusi yang dimenangi Bersatu dalam PRU14.
“Maknanya kita konsisten untuk kekalkan kerusi itu,” kata Muhamad Zulfadhly kepada The Malaysian Insight.
Ini bermaksud, Bersatu akan menentang Pejuang sekiranya parti baharu itu juga mahu mempertahankan kerusi berkenaan.
Kerusi itu dimenangi Sharuddin Md Salleh dari Bersatu dalam PRU14, menewaskan ketua Umno bahagian itu yang juga timbalan menteri pengangkutan waktu itu, Ab Aziz Kaprawi.
Turut tewas dalam pertandingan tiga penjuru itu calon PAS, M Ashari Sidon yang hanya meraih lebih 4,500 undi.
Shahruddin menang dengan meraih 21,511 undi, manakala Ab Aziz mendapat 18,223 undi di kawasan dengan 65% pengundi Melayu itu.
Secara tradisi, ia dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan Hussein Onn menjadi wakil rakyat pertama di kawasan itu pada 1974.
PKR mula mencuba nasib di kerusi itu sejak PRU 2004 namun tidak pernah berjaya. Kerusi itu hanya jatuh ke tangan pembangkang apabila PKR memberi laluan untuk ditandingi Bersatu.
Shahruddin tiada akar umbi
Namun jentera dan anggota akar umbi Umno melihat Shahruddin tidak mempunyai peluang cerah di Sri Gading, sekiranya mahu mempertahankan kerusi itu.
Mereka berpendapat, Shahruddin tidak mempunyai akar umbi yang kukuh di kawasan itu kerana tidak membina kedudukan selepas menang pilihan raya, walaupun beliau setiausaha agung Bersatu.
“Kita nampak kekurangan yang ada pada beliau itu kelebihan untuk kita di Sri Gading… Nampak macam di sini Shahruddin tiada masa hadapan.
“Walaupun ketika itu beliau berjawatan dalam Bersatu, tiada pertambahan cawangan Bersatu di sini,” kata seorang pemimpin Umno, yang enggan identitinya didedahkan.

The Malaysian Insight difahamkan, Bersatu mempunyai kurang 10 cawangan di Sri Gading, dengan keahlian dianggarkan sekitar 7,200 orang.
Sebagai perbandingan, Umno mempunyai 104 cawangan di Parlimen yang mempunyai kira-kira 52,119 pengundi itu.
Ia merupakan antara tiga kawasan dikuasai pemimpin Bersatu yang kini bersama Dr Mahathir dalam Pejuang di Johor.
Dua lagi adalah Muar diwakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Simpang Renggam, kawasan Maszlee Malik – kedua-duanya menteri dalam Kabinet Dr Mahathir.
Namun pengundi tempatan seperti Hanafi Mansor, 29, tetap membandingkan kekuatan wakil rakyat itu dengan melihat kekuatan jentera dan pengaruh di akar umbi.
“Shahruddin tiada pasukan khusus di Sri Gading. Kalau Umno kita lihat ada jentera, beliau kita tidak nampak.
“Banyak kita lihat semasa PRU14 dahulu beliau dibantu jentera Amanah dan PKR,” kata Hanafi penduduk kampung Sungai Bioh.
Ia merupakan salah satu daripada beberapa kawasan yang kerap dikunjungi Shahruddin kerana mempunyai pertalian saudara dengan penduduk kampung.
Pengundi itu berpendapat, Shahruddin lebih berpeluang di Jorak, Muar kerana pernah menadi Adun selama dua penggal di kawasan itu sejak PRU12 ketika masih dalam BN.
“Jentera dan akar umbi Shahruddin dikatakan banyak di Jorak, kerana beliau pernah menjadi Adun di kawasan itu,” kata Hanafi.
Sharuddin juga dikatakan hanya melawat beberapa kawasan tertentu dalam Parlimen Sri Gading, seperti Sungai Bioh, Kampung Baru, dan Seri Bengkal.
“Beliau bergerak sekarang pun bersama jentera Amanah dan PKR…tidak ada program besar-besar, setakat sembahyang Jumaat di masjid-masjid.
“Kekurangan Sharuddin adalah tiada akar umbi dan penggerak, jadi sukar untuk beliau kekalkan kedudukan di Sri Gading,” kata Hanafi.

Tidak dikenali pengundi
Saiful Azwan Musa, 38, pula berpendapat, Sharuddin tidak membawa banyak perubahan di kawasan Sri Gading, dan tidak dikenali penduduk setempat.
Pengundi dari Parit Raja itu berkata, pengundi muda juga tidak mengenali Sharuddin, kerana beliau jarang dilihat berada di kawasan.
“Silap-silap kalau (bekas ahli Parlimen Umno) Aziz bertanding semula boleh menang sebab beliau disenangi penduduk dan mudah ditemui.
“Ahli Parlimen sekarang nama pun orang tak tahu, kalau Aziz kita sebut nama pun budak muda kenal, tidak ada masalah,” katanya.
Tentangan Muafakat Nasional
Pemimpin Umno bahagian pula memberitahu The Malaysian Insight, parti itu sudah bersiap sedia jika kawasan berkenaan diserahkan kepada mereka untuk ditandingi dalam PRU15.
Beberapa nama calon berpotensi termasuk Aziz, turut disebut-sebut untuk bertanding mewakili Umno di kerusi berkenaan.
“Calon kita tiada masalah, ada beberapa nama yang layak dan berpotensi… Kita akan ambil semula kerusi Parlimen Sri Gading,” kata pemimpin akar umbi Umno yang enggan identitinya disiarkan.
Beliau yakin penyatuan Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional yang dijangka mampu memberi kemenangan kepada mereka. – 18 Ogos, 2020.
Komen