KETUA badan pelancongan Ireland meletakkan jawatan pada Sabtu kerana memilih untuk bercuti di Itali selepas kerajaan mengeluarkan nasihat agar tidak menggalakkan percutian ke luar negara.
Michael Cawley berkata beliau mengundurkan diri sebagai ketua Failte Ireland, agensi pembangunan pelancongan negara itu, kerana tidak mahu tindakannya “menjadi gangguan”.
Menteri pelancongan Ireland Catherine Martin berkata beliau “kecewa” dengan keputusan Cawley untuk mengunjungi Itali dan menerima peletakan jawatan itu.
“Dia menyedari solidariti dengan industri sangat penting pada masa ini, dan saya menerima peletakan jawatannya petang ini kerana saya yakin kedudukannya tidak dapat dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan jumlah pengunjung antarabangsa yang terkena wabak itu, kerajaan Ireland menggesa rakyatnya tidak melancong pada musim panas ini dalam usaha meningkatkan ekonomi yang sangat bergantung kepada pelancongan.
Nasihat tidak melakukan perjalanan yang tidak penting juga bertujuan menghentikan penularan virus di negara ini, ketika kes koronavirus meningkat di seluruh Eropah dan dunia.
Ireland menyaksikan 27,191 kes virus dan 1,774 kematian sejak wabak itu bermula awal tahun ini.
Negara ini mengumumkan 200 kes baru pada Sabtu, jumlah harian terbesar sejak Mei.
Dublin mengenakan sekatan kuarantin kepada mereka yang masuk ke Ireland dari beberapa negara dengan kadar Covid-19 yang tinggi, tetapi Itali tidak termasuk dalam senarai.
Cawley, bekas ketua pegawai operasi syarikat penerbangan Ireland, Ryanair, berkata beliau “menyokong sepenuhnya dasar kerajaan berhubung pelancongan”.
Beliau menambah akan terus membantu industri ini keluar daripada kesukaran dialami sekarang. – AFP, 16 Ogos, 2020.
Komen