Muhyiddin hadir perjumpaan barisan pemimpin Johor


Perjumpaan tersebut diadakan bersempena lawatan dua hari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga ahli Parlimen Pagoh ke Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menghadiri perjumpaan bersama barisan pemimpin negeri Johor di sebuah hotel malam ini.

Perjumpaan tersebut diadakan bersempena lawatan dua hari Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh ke negeri itu.

Ketibaan pemangku pengerusi dan presiden Bersatu pada kira-kira 8.15 malam itu, disambut Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional Johor Hasni Mohammad.

Turut hadir pada majlis tertutup itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor R.Vidyananthan.

Perjumpaan itu turut melibatkan kepimpinan bahagian Umno, Bersatu, PAS, MCA dan MIC.

Selain Muhyiddin yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, kesemua 10 Adun dari Bersatu turut kelihatan pada majlis berkenaan.

Terdahulu, dalam perutusan khas sempena persidangan Armada, Srikandi dan Bahagian Bersatu, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Muhyiddin, hari ini, beliau berkata penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Muhyiddin berkata, dengan menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN), maka, Bersatu akan berada dalam satu gabungan besar atau ‘the grand coalition’. – Bernama, 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen