Hannah Yeoh gesa papan tanda Taman Rimba Kiara dipasang semula


Noel Achariam

AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa papan tanda Taman Rimba Kiara yang dicabut dari pintu masuk taman itu dipasang semula dengan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen Segambut menggesa papan tanda Taman Rimba Kiara yang dicabut dari pintu masuk taman itu dipasang semula dengan segera.

Yeoh memberitahu The Malaysian Insight beliau sudah menghubungi Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan, dan perkara itu sedang diteliti.

“Saya mahu mereka hentikan apa sahaja yang mereka buat di Taman Rimba Kiara. Memagar sempadan, papan tanda, lepas ini apa pula?”

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bulan lalu berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan memulakan sebarang kerja pembinaan sehinggalah mahkamah memutuskan mengenai perkara tersebut.

“DBKL perlu patuh arahan saya iaitu tiada kerja-kerja (persempadanan) sehinggalah mahkamah buat keputusan,” katanya.

Penduduk Taman Tun Dr Ismail memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah rendah yang menolak permohonan semakan kehakiman bagi membantah kelulusan projek pembangunan di Taman Rimba Kiara.

Annuar juga pada bulan lalu berkata nama Taman Rimba Kiara diubah kepada Taman Awam Bukit Kiara atas cadangan DBKL.

Penyelaras Jawatankuasa Kerja Save Taman Rimba Kiara Leon Koay berkata kehilangan papan tanda itu disedari penduduk pagi tadi.

“Penduduk kecewa dengan perkara ini. Mereka (pihak berkuasa) sebelum ini kata tak akan ubah nama. Sekarang, apa dah jadi?”

Papan tanda berkenaan terletak di persimpangan Jalan Tun Mohd Fuad dan Jalan Abang Haji Openg.

Menurut Koay, penduduk TTDI mahukan penjelasan mengapa papan tanda itu dicabut.

“Jangan usik taman ini. Jangan cabut papan tanda. Bagi kami, ini masih Taman Rimba Kiara.

“Adakah ia dirosakkan atau dicabut, dan siapa yang buat? Tiada siapa yang mengaku. Siapa punya kerja?” katanya, sambil menambah papan tanda itu perlu segera dipasang semula.

DBKL pada 2014 meluluskan pembangunan sebahagian taman bagi projek sembilan blok kondominium bertingkat, dan juga rumah mampu milik, di bawah usaha sama antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat pemaju terkenal Malton Bhd.

Kelulusan itu diberikan ketika Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional menjadi menteri Wilayah Persekutuan dan diikuti dengan dakwaan rasuah.

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Abdul Samad, berunding untuk mengecilkan saiz projek kepada empat blok pangsapuri perkhidmatan (service apartment) dan 204 unit rumah mampu milik, tetapi ia ditolak oleh Save Taman Rimba.

Mereka mahu perumahan kekal dan mampu milik untuk komuniti rumah panjang berhampiran, tetapi bukan kondominium bertingkat. – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen