Rumah pelacuran Berlin dibuka semula tanpa aktiviti seks


Seorang pekerja seks, Jana bersama pengurusnya. Rumah pelacuran di Berlin dibenarkan untuk dibuka semula minggu lalu, namun aktiviti seks masih dilarang. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2020.

RUMAH pelacuran di Berlin dibenarkan untuk dibuka semula minggu lalu setelah penutupan selama beberapa bulan akibat perintah sekatan pergerakan Covid-19, namun aktiviti seks masih dilarang.

Sebaliknya, pelanggan yang perlu melunaskan keinginan seksual di ibu negara Jerman itu hanya dibenarkan menerima khidmat urutan erotik sehingga peraturan dikendurkan pada September.

Keputusan tersebut mengecewakan bukan hanya kepada pelanggan bahkan kepada pekerja seks.

Di rumah pelacuran di mana pekerja seks, Jana menjalankan operasinya, ranjang tidurnya telah siap dikemas, bantal ditukar, sementara bunga segar diletakkan di dalam pasu.

Namun Jana, 49, menantikan bulan depan supaya dia dapat menawarkan perkhidmatan penuh sekali lagi.

“Saya lebih suka layanan seksual, pelanggan saya juga begitu,” katanya.

Aktiviti perdagangan khidmat seks telah dilarang di Berlin sejak pertengahan Mac sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Pada bulan Julai, beberapa pelacur membawa boneka seks ketika tunjuk perasaan di luar Bundesrat di Berlin, membantah sekatan berterusan kerana ia menghalang mereka mencari nafkah dan menyebabkan perniagaan mereka rugi.

Pelacuran adalah dibenarkan dan diawasi undang-undang di Jerman, dengan 40,000 pekerja seks berdaftar di negara ini berhak mendapat kontrak pekerjaan dan faedah jaminan sosial. – AFP, 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen