KEMENTERIAN Kesihatan telah mengenal pasti kluster baharu di Yan, Kedah dengan tiga kes Covid-19 baharu hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata kluster Yan dikesan ketika seorang warga Malaysia diuji positif pada 13 Ogos lalu melalui sistem pengawasan klinikal Jangkitan Akut Pernafasan (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
“Pengesanan Kes Aktif dan pemeriksaan kontak rapat dilakukan pada 14 Ogos dan kes positif dikesan pada keesokan harinya.
“Ketiga-tiga kes yang dilaporkan hari ini adalah anggota keluarga daripada kes pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pada 15 Ogos, 80 daripada kontak rapat pesakit telah diperiksa dan tiga orang tersebut diuji positif Covid-19, sementara 76 individu lagi masih menunggu keputusan.
Tambahan tiga kes baharu itu menjadi faktor pengesanan kluster baharu di Kedah selepas kes pertama sebelum ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di kluster itu sebanyak empat kes.
Beliau turut berkata 12 kes baharu hari ini direkodkan di kluster Tawar mencatatkan 10 kes dari Kedah sementara dua kes lagi dari Pulau Pinang.
“Dari kluster ini 33 individu diuji positif dari 657 individu yang menjalani saringan Covid-19.
Sementara itu di kluster Muda, beliau berkata sebanyak 133 individu telah disaring.
“Dari saringan itu, tiga kes disahkan positif Covid-19, 27 individu diuji negatif sementara baki 103 individu lagi masih menungguh keputusan ujian.
“Pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat masih dijalankan di kluster ini dan situasi terkini akan diumum dari semasa ke semasa.” – 15 Ogos, 2020.
Komen