Apa yang saya buat, saya buat untuk kalian, kata Najib 


Chan Kok Leong

Najib Razak yang disabitkan kesalahan dalam tujuh pertuduhan di mahkamah terkenal di media sosial dengan status sinis menyindir Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Ogos, 2020.

NAJIB Razak hari ini memberitahu peneroka Felda bahawa beliau melakukan yang terbaik untuk mereka selama tempoh beliau menjadi perdana menteri termasuk memberi mereka wang tunai dan bonus Raya.

“Semua yang saya lakukan, saya lakukan untuk anda. Saya tidak berbohong. Anda boleh menilai 22 bulan Pakatan Harapan dan bandingkan dengan sembilan tahun di bawah saya,” kata penasihat BN itu semasa program politik bersama pengundi di Felda Gunung Besout 1 di Slim petang ini.

“Siapa yang beri anda wang tunai RM15,000 semasa penyenaraian FGV? Siapa yang beri anda bonus Raya?

“Sekiranya kami menang lagi, kami akan beri anda lebih banyak lagi,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau berkata bahawa Barisan Nasional berkuasa untuk menolong orang miskin dengan mendirikan penempatan seperti Felda.

“Kami memerintah untuk membantu rakyat, tetapi mereka panggil saya pencuri.

“Tetapi 99% wang itu digunakan untuk kesejahteraan sosial dan politik. Dengan wang itu, saya berikan kepada Umno, sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan lain-lain.

“Tetapi saya didenda RM3 juta kerana beri wang kepada anak yatim,” kata Najib.

Beliau berkata bahawa beliau tidak pernah meminta wang yang dipindahkan ke akaun peribadinya dari SRC International Sdn Bhd.

“Saya bersumpah di mahkamah bahawa saya tidak meminta wang dan juga tidak ditawarkan,” tambahnya.

Najib merujuk kepada kes mahkamah SRC International Sdn Bhd di mana dia didapati bersalah atas tujuh pertuduhan kerana menerima RM42 juta dari anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.

Dalam kes itu, Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda sebanyak RM210 juta. Mahkamah bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan beliau di Mahkamah Rayuan.

Beliau menafikan tindakan memberikan wang tunai seperti BR1M adalah untuk merasuah rakyat.

“Ini kerana kami ingin anda pacu ekonomi tempatan. Kita tahu bahawa jika kita menolong rakyat (dengan memberi mereka wang) mereka akan membelanjakannya untuk ekonomi tempatan. Negara-negara lain melakukan perkara yang sama,” kata Najib.

“Jadi, jika anda bersimpati dengan saya, silakan pilih calon BN,” kata bekas presiden Umno itu.

Najib bercakap di luar kempen Pilihan Raya Kecil Slim yang bermula hari ini. Ceramah ini juga merupakan ucapan awam pertamanya sejak dijatuhkan hukuman pada 28 Julai lalu.

PRK Slim akan ditandingi oleh Mohd Zaidi Aziz dari BN, dan dua calon bebas - Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Segaran Subramaniam.

Amir, bekas anggota Bersatu, bertanding atas nama parti baharu, Pejuang, yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen