26 kes baharu Covid-19, satu lagi kluster di Kedah


Noel Achariam

SEBANYAK 26 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, dengan satu lagi kluster dikesan di Yan, Kedah, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini kini 9,175.

Selain itu, beliau juga memaklumkan tiga kes pulih dilaporkan hari ini, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 219.

“Ingin dimaklumkan daripada 26 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Tiga kes import tersebut adalah dari Austria, Amerika Syarikat dan Vietnam,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes jangkitan dalam negara, 23 kes dilaporkan, membabitkan 20 rakyat tempatan dan 3 warganegara asing.

Tambah beliau, bagi kes jangkitan dalam negara membabitkan rakyat tempatan, empat kes dikesan dari dua kluster di Kedah iaitu tiga kes dari kluster Sala di Yan, 10 (kluster Tawar) dan 1 (kuster Muda).

Manakala dua kes dikesan di Kuala Lumpur, masing-masing melalui kes saringan tempat kerja dan saringan kontak rapat kepada kes positif.

“Dua kes dikesan melalui saringan kluster Tawar yang merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

“Dua lagi kes dikesan masing-masing satu di Johor dan Perlis melalui saringan pra pembedahan.”

Bagi kes jangkitan membabitkan warga asing, Dr Noor Hisham berkata dua kes dikesan melalui saringan tahanan pendatang asing tanpa izin di Negeri Sembilan, dan satu kes di tempat kerja di Kuala Lumpur.

Sehingga kini seramai enam pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi, di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Tiada kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia kekal 125 orang.  – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen