Pemerhati: Umno sekat pertandingan jawatan tertinggi untuk selamatkan Najib


Sheridan Mahavera

Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi tidak akan dicabar bagi jawatan presiden dan naib presiden dalam pemilihan Umno tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2017.

Pemerhati menganggap langkah UMNO untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya dalam pemilihan parti selepas ini sebagai satu usaha untuk menyelamatkan kedudukan presiden Najib Razak.

Penganalisis politik Hisommudin Bakar berpendapat, langkah itu bagi mengelak Najib ditolak oleh anggota partinya andai BN kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-14.

Jelasnya ia akan mengelakkan Najib mengalami nasib sama seperti pendahulunya, Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa berundur dari jawatan presiden selepas mencatat prestasi buruk dalam pilihan raya umum 2008.

“Akan lebih sukar untuk orang berikutnya mencabar Najib sekarang walaupun jika pencapaian Umno dan BN teruk.

“Parti sudah meluluskan usul itu dan pencabar tidak akan ke mana jika dia cuba mencabar presiden, walaupun jika pencapaiannya teruk ,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

Beliau menyorot kembali perkembangan menjelang pilihan raya umum pada 2008. Akibat kegagalan Abdullah membaca ramalan dengan tepat sebelum pilihan raya berlangsung pada tahun itu, Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga dan tewas di lima negeri.

Ia juga menyebabkan Abdullah hilang jawatan presiden Umno setahun kemudian apabila menerima tekanan dari ahli, termasuk pendahulunya Dr Mahathir Mohamad.

Pada PRU 2013, Najib menambah kerusi Parlimen Umno daripada 79 yang dimenangi Abdullah, kepada 88 kerusi, namun hilang undi popular untuk BN secara keseluruhannya.

Tetapi jika Umno memperolehi kurang daripada 88 kerusi itu akibat kebangkitan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir, Najib mungkin berdepan tekanan yang serupa.

Walaupun di atas kertas, jawatan timbalan presiden itu nampaknya sudah pasti di tangan naib presiden Ahmad Zahid Hamidi, pada masa sama ia menyukarkannya untuk bertanding jawatan presiden, kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu.

“Zahid kini ada dalam jawatan timbalan presiden. Untuk mencabar presiden, itu tindakan tidak popular untuknya, walaupun jika ada merit pada masa depan,” kata Hisommudin.

Umno yang bersatu-padu menjelang PRU14

Dengan mengunci dua jawatan itu daripada dipertandingkan, Umno juga mahu memastikan parti itu tidak berpecah kepada puak-puak yang hanya berminat untuk pada pemilihan parti dan bukannya pada pilihan raya umum, seperti yang berlaku pada 2008.

 

Keadaan seperti itulah yang cuba dielak oleh Umno, kata Hisommudin.

Tambahnya lagi, hakikat bahawa Umno terpaksa mengemukakan usul itu, menunjukkan betapa bimbangnya pemimpin akar umbi dengan pemilihan parti tahun depan.

Selain itu, Umno dan BN juga sedang berdepan pengundi yang sangat marah dengan kerajaan akibat inflasi, gaji tidak naik, pengangguran tinggi dalam kalangan belia dan tuduhan rasuah, katanya.

“Ia memerlukan setiap peluang yang ada dan tidak boleh berdepan masalah jentera pilihan raya terganggu dengan pemilihan parti,” kata Hisommudin.

“Jika pencapaian Umno teruk kali ini, akan ada tekanan untuk jawatan presiden dipertandingkan.

“Itu yang mungkin mahu dielakkan oleh ketua bahagian. Mereka tidak mahu berdepan dengan lebih banyak kekecohan dalam keluarga Umno jika ada kekecohan dalam PRU14.”

Usul semalam, yang dibawa oleh sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, dilihat membantu menenangkan kem berkenaan.

Zahid, yang kini naib presiden, mungkin akan dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden yang kosong, tetapi tidak akan ada sesiapa yang melawannya.

Terdapat juga cubaan untuk mendapatkan kerusi itu untuk naib presiden Hishammuddin Hussein dengan memasukkan menteri tugas-tugas khas itu dalam usul berkenaan.

Tetapi akhirnya, usul yang dikemukakan semasa sesi persidangan semalam hanya menamakan Najib dan Zahid.

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menegaskan bahawa usul itu hanya membabitkan jawatan presiden dan timbalan.

Beliau tidak mengulas mengapa usul itu tidak memasukkan permintaan untuk turut menyertakan nama Hishammuddin.

“Usul itu pada awalnya untuk menghentikan sebarang spekulasi dalam parti antara ahli yang boleh mengganggu mereka daripada fokus kepada PRU,” kata Ahli Majlis Tertinggi Shahrir Samad.

Shahrir enggan menyatakan sama ada jentera Umno untuk PRU akan pincang jika ususl berkenaan tidak dikemmukakan.

“Apa yang pasti ialah dengan adanya usul itu, parti tidak akan terganggu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemimpin tertinggi Umno termasuk Najib, Zahid dan Hishammuddin secara terbuka memberi amaran kepada ahli untuk fokus tentang PRU di mana presiden menggelarnya sebagai “penghulu sebagai pilihan raya”.
 

Ahad Zahid Hamidi dianggap sebagai timbalan tetapi belum lagi rasmi kecuali dilantik, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2017.

Satu lagi sumber menyebut, pertandingan terbuka untuk jawatan timbalan presiden itu terlalu menggiurkan buat dua kem yang paling berkuasa dalam Umno – kem Zahid dan Hishammuddin.

Hali ini disebabkan secara lazimnya ia menentukan pelantikan ke jawatan timbalan perdana menteri dalam kerajaan yang diketuai Umno.

“Zahid dianggap sebagai timbalan tetapi belum lagi rasmi kecuali dia dilantik. Tanpa usul itu, orang dalam kem Hishammuddin boleh menggesanya supaya bertanding menentang Zahid untuk jawatan nombor dua itu,” kata sumber yang enggan namanya disebut.

Jika keadaan itu berlaku, ia akan mengganggu kelancaran fungsi jentera pilihan raya pada PRU14 apabila panglima Umno berlawan untuk menewaskan satu sama lain, kata sumber itu.

Apabila dua jawatan itu tidak dipertandingkan, tidak akan ada lagi tindakan melobi, jelasnya.

Perkara itu dipersetujui seorang perwakilan, Zaiton Ismail dari bahagian Muar yang berpendapat, usul berkenaan akan menyatukan parti sebagai satu pasukan di belakang Najib dan Zahid ketika Umno menghadapi pilihan raya paling getir. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen