Zahid Hamidi akui Bersatu diundang sertai Muafakat Nasional


Zahid berkata bahawa sokongan yang diperolehi Bersatu pada pilihan raya lalu mesti diberikan kepada BN dalam PRK Slim yang akan diadakan pada 29 Ogos depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui Muafakat Nasional (MN) mengajak Bersatu untuk bergabung dalam gabungan politiknya.

Ia berlaku selepas beberapa jam Muhyiddin Yassin memaklumkan kepada anggota parti Bersatu bahawa mereka ingin bekerjasama dengan pakatan politik berasaskan Melayu-Islam tersebut.

Presiden Umno itu berkata MN kini sedang menunggu jawapan rasmi daripada Bersatu berhubung jemputan tersebut.

“Kami sekarang menunggu jawapan mereka dan saya menyerahkan ini kepada jawatankuasa pengarah MN untuk meneliti jawapan mereka dan memutuskan peranan ketiga-tiga parti.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden Umno (Mohamad Hasan) dan timbalan presiden PAS (Tuan Ibrahim Tuan Man),” katanya.

Presiden Umno itu berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim yang akan diadakan pada 29 Ogos depan bakal menjadi satu ujian terhadap kerjasama baharu antara Bersatu dan Muafakat Nasional.

Beliau menggesa Bersatu untuk menunjukkan kekuatannya dengan memastikan bahawa undi penyokongnya akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRK Slim.

Zahid turut berkata bahawa sokongan yang diperolehi Bersatu pada pilihan raya lalu mesti diberikan kepada BN dalam PRK Slim yang akan diadakan pada 29 Ogos.

“Itu akan menjadi bukti bahawa mereka bersama dengan kita,” katanya memetika beberapa laporan ketika melancarkan jentera pilihan raya Pemuda Barisan Nasional di Trolak Felda.

Awal hari ini Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa parti itu akan turut bergabung dengan Muafakat Nasional, sebuah muafakat politik yang dijalin antara Umno dan PAS.

Presiden Bersatu mengumumkan perkara ini dalam pesanan video kepada anggota Bersatu hari ini dan turut mengesahkan spekulasi bahawa parti itu secara rasmi akan menjadi rakan kongsi dalam muafakat tersebut.

Bagaimanapun, pengakuan itu juga menimbulkan persoalan berhubung masa depan gabungan Perikatan Nasional yang masih belum didaftarkan namun memegang tampuk pentadbiran pusat.

Umno sebelum ini berkata ia tidak akan menyertai Perikatan secara rasmi, dan mengambil keputusan untuk terus kekal bersama Muafakat Nasional.

Kemasukan Bersatu ke dalam MN akan menjadikan tiga parti Melayu itu sebagai tulang belakang kerajaan.

Sekutu Perikatan ketika ini adalah pakatan politik Kerajaan Sarawak, GPS, MCA, MIC dan beberapa parti di Sabah. – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen