BERSATU akan menyertai Muafakat Nasional yang ditubuhkan oleh Umno dan PAS, kata presidennya Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau mengesahkan perkara itu dalam satu perutusan yang dimuat naik menerusi video di Facebooknya hari ini.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib Perikatan Nasional yang masih belum didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah gabungan.
Umno sebelum ini menyatakan pihaknya tidak akan menyertai Perikatan walaupun gabungan itu didaftar secara rasmi dan memilih untuk kekal dalam Muafakat.
Penyertaan Bersatu dalam Muafakat akan menyaksikan tiga parti utama Melayu akan menjadi tulang belakang kerajaan memerintah.
Parti lain yang menyokong Perikatan adalah parti pemerintah Sarawak GPC, MCA, MIC dan beberapa parti di Sabah.
Muhyiddin yang juga perdana menteri berkata, beliau tidak mengkhianati parti dengan mengeluarkannya dari Pakatan Harapan.
“Saya tidak mengkhianati parti. Saya yang mengasaskan parti dan tiada sebab untuk saya mengkhianati parti yang saya asaskan,” katanya.
Beliau turut menggesa ahli agar tidak terlibat dengan pertikaian dalaman yang dibawa oleh Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya.
“Saya tidak menafikan sumbangannya. Saya menghormatinya sebagai bekas pemimpin kita dan orang yang rapat dengan saya tahu bagaimana saya hormati beliau.
“Saya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama kita, tapi tak mengapa. Beliau telah memilih haluannya sendiri dan saya doakan yang terbaik.
“Kita perlu teruskan,” katanya.
Dr Mahathir dan penyokongnya secara automatik hilang keahlian parti kerana menyokong pembangkang. Cubaan mereka untuk mencabar perkara itu melalui undang-undang turut gagal.
Susulan itu, Dr Mahathir menubuhkan parti Melayu yang baharu dipanggil Pejuang untuk terus memperjuangkan Melayu.
Sejumlah ahli Bersatu turut bertindak keluar parti dan menyokong Dr Mahathir walaupun parti itu masih belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan. – 15 Ogos, 2020.
Komen