Tak bentang Laporan Kewangan Tabung Haji kerana kerajaan bertukar, kata Mujahid


Diyana Ibrahim

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata laporan tersebut sudah diaudit dan ia sepatutnya dibentangkan pada Mac 2020.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

PERTUKARAN kerajaan pada Februari menyebabkan Laporan Kewangan Tabung Haji 2018 tidak dapat dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan, kata bekas menteri Mujahid Yusof.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata laporan itu sudah siap sepenuhnya semasa pentadbiran PH dan sepatutnya dibentangkan pada Mac tahun ini.

“Saya ingin jelaskan bahawa laporan kewangan pada 2018 sudah siap. Laporan tersebut sudah diaudit dan kami sepatutnya membentangkan laporan tersebut pada Mac 2020.

“Tetapi seluruh negara tahu apa yang berlaku pada Februari lalu di mana berlakunya pertukaran kerajaan dan kami tidak berpeluang untuk membentangkan laporan tersebut,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menjawab soalan bekas menteri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mempersoalkan kegagalan PH membentangkan laporan tahunan itu pada 2018 dan 2019.

Dalam program debat anjuran Sinar Harian itu, Mujahid berkata laporan tersebut memakan masa disebabkan usaha pemulihan yang dijalankan ke atas Tabung Haji.

Malah menteri yang kini bertanggungjawab ke atas Tabung Haji juga baru sahaja memberitahu Parlimen bahawa laporan itu sudahpun berada di tangan kerajaan Perikatan Nasional.

“Jangan lupa di awalnya sebab PH buat program pemulihan jadi lapora itu makan masa. Hujung tahun baru boleh buat audit.

“Dan saya pula tak boleh bentang sebab saya bukan menteri. Menteri pun dah jawab yang laporan itu ada dalam tangan Perikatan Nasional. Jangan ulang benda murahan ini.

Beliau juga berkata, PH tidak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kerana ketika itu Tabung Haji sedang melakukan pelan penstrukturan dan pemulihan.

Melakukan RCI ketika itu dikhuatiri akan memberikan kerisauan kepada pendeposit TH, kata Mujahid.

Pada masa sama beliau turut membidas Umno yang menggunakan sentimen perkauman sebagai modal politik.

Katanya, Umno antara lain mempersoalkan campur tangan menteri DAP sewaktu kerajaan PH menubuhkan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) sedangkan itu memang tugas menteri kewangan.

Jelasnya, usaha itu sememangnya perlu melihatkan tiga kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri, ekonomi dan kewangan tetapi bukan parti DAP.

“(Guan Eng) dilibatkan bukan hendak tahu apa ada dalam TH cuma pelan menyelamatkan PH. Kenapa tak sebut menteri Ekonomi Azmin Ali, saya menteri JPM  seorang Islam, Azmin seorang Islam tapi disebut DAP?

“Lalu dimainkan sentimen perkauman sedangkan secara strukturnya semua tiga kementerian terlibat dan keputusan dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri majoritinya orang islam,” katanya.

Program debat di antara Mujahid dan Azeez disiarkan langsung melalui platform dalam talian Sinar Harian pada malam tadi. – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen